Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Selain perlawanan pembukaan antara pasukan tuan rumah, Qatar menentang Ecuador yang menjadi perhatian dunia, terdapat satu lagi perlawanan yang turut dinanti-nantikan dalam Kumpulan A iaitu antara Senegal dan Belanda.
Belanda merupakan antara pasukan pilihan penggemar sukan bola sepak di seluruh dunia dengan rekod pencapaiannya yang cemerlang dalam sejarah penganjuran Piala Dunia sebelumnya di mana pasukan tersebut berjaya menjadi naib juara tiga kali pada edisi tahun 1974, 1978 dan 2010.
Mungkinkah pasukan Belanda akan berjaya mencipta sejarah dengan merangkul Piala Dunianya yang pertama pada edisi kali ini? Atau adakah mereka hanya akan menjadi pasukan yang mencukupi syarat untuk berada dalam 32 pasukan terbaik dunia yang bersaing di Qatar pada tahun ini?
Antara pemain yang bakal menjadi tumpuan dalam perlawanan esok antara Senegal dan Belanda ialah bintang Liverpool, Van Dijk yang cukup digeruni di bahagian pertahanan Belanda. Frenkie De Jong, Steven Charles Bergwijn dan Cody Gakpo dipercayai akan turut memantapkan lagi bahagian serangan skuad kendalian Louis van Gaal.
Sementara itu, Senegal yang tampil buat kali ketiga dalam Piala Dunia juga tidak boleh dianggap sebagai sebuah pasukan yang mudah untuk dikalahkan lantaran Senegal pernah menjuarai Piala Negara-Negara Afrika pada Februari lalu.
Walaupun Senegal terpaksa beraksi tanpa pemain sensasinya, Sadio Mane yang terpaksa dilepaskan daripada pasukan atas kecederaan kaki yang dialaminya, pasukan kendalian Aliou Cisse tersebut pastinya akan memberikan saingan yang hebat tambahan lagi dengan kemantapan penjaga gawangnya, Edouard Mendy yang juga merupakan pemain bintang kelab Chelsea dan Kalidou Koulibaly di bahagian pertahanan.
Pertembungan dua pasukan hebat ini sudah semestinya menghiburkan para peminat bola sepak di seluruh dunia dengan tumpuan berpusat di Stadium Al-Thumama, Qatar pada pukul 12 tengah malam waktu tempatan.