Pertembungan epik Federer, Nadal

LONDON, 11 JULAI – Roger Federer dan Rafael Nadal bakal bertembung pada separuh akhir hebat Wimbledon malam esok, 11 tahun selepas perlawanan epik 2008 yang dianggap sebagai antara final Grand Slam terhebat.

Juara lapan kali, Federer meraih kemenangan ke-100 dan mara bagi separuh akhir ke-13 Wimbledon dengan menewaskan pemain Jepun Kei NIshikori, 4-6, 6-1, 6-4, 6-4. Bintang berusia 37 tahun itu akan bermain separuh akhir major buat kali ke-45.

Sementara itu, Nadal, juara dua kali, mara ke separuh akhir buat kali ketujuh dan 32 di Slams, dengan menewaskan Sam Querrey 7-5, 6-2, 6-2.

Separuh akhir esok akan menjadi pertembungan ke-40 di antara keduanya dan ketiga di Wimbledon selepas Federer menang di final 2006 dan 2007 sebelum Nadal meraih kemenangan pada 2008.

Pada separuh akhir lain, menyaksikan juara empat kali dan pemain pilihan utama Novak Djokovic berdepan Roberto Bautista Agut, yang mara ke separuh akhir buat pertama kali. – AFP

Rafael Nadal ketika beraksi menentang Sam Querrey dalam saingan suku akhir Wimbledon. – AP