Pertembungan kelab ‘super’ di final liga juara-juara

LISBON, 20 OGOS – Aksi luar biasa Bayern Munich di bawah pengurus Hansi Flick telah membawa mereka semakin hampir menjuarai piala ketiga musim ini setelah membenam Lyon 3-0 pada perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara semalam dan menarik pertembungan terakhir antara gergasi Jerman itu dan Paris Saint-Germain (PSG).

“Inilah yang anda impikan sebagai pemain bola sepak bermain menentang yang terbaik di Eropah dan kami dapat melakukannya, saya teruja,” kata pemain pertahanan Bayern, Alphonso Davies kepada BT Sport.

Pasukan Flick sekali lagi mengesahkan kekuatan serangan mereka yang tidak dapat dihentikan di Stadium Jose Alvalade ketika Serge Gnabry pemain sayap Jerman itu menjaringkan gol kesembilan dalam sembilan penampilannya di Liga Juara-Juara musim ini dan gol lewat Robert Lewandowski menjadikan jaringan ke-55 keseluruhannya dalam kempen Liga Juara-Juara.

Bayern adalah pasukan pertama yang memenangi kesemua 10 perlawanan dalam kempen Liga Juara-Juara dan kini berharap dapat menjadikannya 11 kemenangan dari 11 perlawanan ketika mereka berdepan PSG di final.

Mereka mempamerkan keyakinan, seperti yang anda harapkan untuk pasukan dengan 20 kemenangan berturut-turut dalam semua perlawanan.

“Tidak ada yang menakutkan kami, kami adalah Bayern Munich. Kami telah menjalani musim yang hebat dan sekarang kami perlu menyelesaikannya dengan memenangi Liga Juara-Juara,” kata pemain pertahanan Benjamin Pavard.

Tetapi Bayern selalu terdedah di barisan pertahanan. Mereka bermain dengan menyerang bahagian atas sehingga memberi risiko di bahagian pertahanan.

Memphis Depay dan Karl Toko-Ekambi masing-masing melepaskan peluang untuk meletakkan Lyon di depan sebelum Gnabry membuka jaringan. Kylian Mbappe, Neymar atau Angel Di Maria mungkin tidak akan mensia-siakan peluang sebegitu pada Ahad ini.

“Kami tahu bahawa ada elemen risiko dalam cara kami bermain. Kami memainkan serangan yang sangat tinggi dan tidak mudah untuk mempertahankannya, tetapi kami akan menganalisisnya dan berusaha untuk melakukan yang lebih baik melawan Paris,” jelas David Alaba. Ini menjanjikan perlawanan final yang menarik, antara dua kelab super yang gemar memenangi segalanya di dalam negera masing-masing sehingga satu kekalahan di Eropah dapat menjadi drama pahit.

PSG telah memenangi tujuh daripada lapan gelaran liga Perancis terakhir dan baharu sahaja melengkapkan piala keempat dalam enam musim.

Bayern memenangi liga Jerman dan piala kedua. Mereka telah memenangi Bundesliga dalam lapan musim terakhir. – AFP