Pertembungan lori, bas ragut 11 nyawa

TEHRAN, 11 Julai – Kira-kira 11 orang terbunuh hari ini apabila sebuah lori tangki minyak bertembung dengan sebuah bas di barat Iran, lapor media kerajaan.

Kenderaan-kenderaan itu berlanggar sejurus selepas tengah malam semalam di Sanandaj, bandar wilayah Kurdistan, Iran, kira-kira 400 kilometer barat Tehran, menurut televisyen kerajaan.

Agensi berita IRNA berkata empat penumpang bas dan tiga orang yang melintas juga tercedera dalam ‘letupan besar’ selepas pertembungan itu.

Pihak berkuasa tempatan telah mengisytiharkan perkabungan tiga hari di wilayah itu, menurut laporan agensi itu.

Sementara jalan raya pada dasarnya baik, Iran memiliki rekod teruk keselamatan lalu lintas, dengan kemalangan berpunca daripada pemandu cuai yang mengorbankan beribu-ribu orang setiap tahun.

Pihak berkuasa berkata lori tangki berkenaan telah merempuh bas tersebut sejurus selepas ia meninggalkan terminal bas di bandar itu. Kedua-dua kenderaan itu meletup lalu terbakar.

Wilayah Kurdistan telah mengisytiharkan tiga hari perkabungan awam ekoran nahas itu.

Menurut UNICEF, kadar kemalangan lalu lintas di Iran adalah 20 kali ganda purata dunia, kerana penguatkuasaan lalulintas yang tidak ketat dan jalan raya yang teruk di negara itu. – AFP