Pertempuran di Baitulmaqdis tercetus lagi

BAITULMAQDIS, 21 APRIL – Polis Israel memasuki perkarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur pada Khamis bagi memudahkan kunjungan pendatang Yahudi ke tapak suci itu hingga mencetuskan pertempuran baharu, lapor Xinhua.

Kan Reshet Bet Radio milik Israel melaporkan ‘beratus-ratus’ pendatang Yahudi diiringi pasukan polis tiba pada awal pagi di perkarangan itu.

Polis Israel dalam satu kenyataan memaklumkan rakyat Palestin menyekat rombongan itu serta membaling mercun dan batu ke arah polis.

Media Palestin pula mendakwa anggota polis bertindak balas dengan melepaskan gas pemedih mata dan peluru logam bersalut getah.

Sekurang-kurangnya seorang rakyat Palestin cedera, menurut kenyataan Bulan Sabit Merah Palestin.

Setakat ini, seramai 200 rakyat Palestin cedera di perkarangan Masjid Al-Aqsa ketika pertempuran tercetus dengan tentera Israel sejak beberapa minggu lalu termasuk pada Jumaat lepas.

Tapak suci yang menjadi pertikaian antara dua agama itu, dikenali sebagai perkarangan Masjid Al-Aqsa untuk umat Islam dan Temple Mount bagi Yahudi, terletak di Kota Lama Baitulmaqdis, diilhakan Israel ketika perang Timur Tengah 1967.

Tapak itu telah ditadbir oleh Wakaf Muslim Jordan tetapi dilindungi pasukan polis Israel. – Bernama

Seorang pengawal keselamatan Israel mengiringi sekumpulan pendatang Yahudi ke Temple Mount, dikenali sebagai Haram al-Sharif oleh penganut Islam, di perkarangan masjid Aqsa kelmarin. – AFP