BANGKOK, 21 Nov – Pasukan tentera berdepan tentangan hebat daripada kumpulan bersenjata etnik Myanmar di beberapa bahagian negara itu manakala situasi semakin meruncing di timur negeri Shan sejak akhir Oktober.
“Terdapat lebih 154 pangkalan dan pos kawalan tentera Myanmar kini dikuasai Brother Alliance sejak operasi bermula. Kami sedang bekerja bersama pasukan itu,” kata jurucakap ISP Myanmar, sebuah badan pemikir bukan kerajaan kepada Agensi Berita Jerman (dpa) pada Selasa.
Perikatan itu merangkumi tiga kumpulan iaitu Myanmar National Democratic Alliance Army (MNDAA), Ta’ang National Liberation Army (TNLA) dan Arakan Army (AA).
Brother Alliance turut mendakwa pihaknya telah menawan sekurang-kurangnya enam bandar kecil di rantau ini.
Sementara itu, jurucakap MNDAA Li Kyarwen mendakwa sekurang-kurangnya 150 askar junta telah terbunuh namun tidak dapat disahkan.
Kumpulan bersenjata di negeri-negeri lain termasuk negeri Chin bersempadan dengan India dan Bangladesh, negeri Karenni dan di wilayah Sagaing juga dilaporkan bangkit menentang tentera dan menawan pelbagai bandar dan pos tentera.
Menurut laporan akhbar The Irrawaddy, hampir 450 askar telah pun meletakkan senjata di pelbagai lokasi di negara itu.
Terdahulu, presiden yang dilantik oleh junta, Myint Swe memberi amaran bahawa negara itu boleh menjadi kucar kacir.
“Jika kerajaan gagal menangani insiden di kawasan sempadan secara berkesan, ia akan memecahbelahkan negara,” katanya. – Bernama
