Pertempuran hapuskan saki-baki IS

BEIRUT, 10 Feb – Tentera sokongan Amerika Syarikat (AS) bertempur sengit dengan saki-baki kumpulan IS di timur Syria hari ini, menurut pemerhati perang.

Pasukan Demokratik Syria (SDF), disokong oleh pasukan gabungan pimpinan AS, mengumumkan satu serangan terakhir untuk merampas semula kawasan kecil pejuang itu berdekatan dengan sempadan Iraq lewat semalam, selepas satu penangguhan sementara selama lebih seminggu bagi membolehkan penduduk awam melarikan diri.

Balai Cerap Syria bagi Hak Asasi Manusia melaporkan satu pertempuran hebat antara kedua-dua belah pihak pagi hari ini, ketika pesawat dan meriam pasukan gabungan mengebom kedudukan pejuang.

“Pertempuran sedang berlaku. Terdapat pertempuran sengit pagi ini, dengan periuk-periuk api meletup,” kata Rami Abdel Rahman, ketua bagi pemerhati perang berpangkalan di Britain.

SDF telah melancarkan satu serangan bagi menghapuskan IS dari wilayah timur Deir Ezzor pada September.

Sejak itu pasukan bersekutu pimpinan Kurdish itu telah mengecilkan kawasan yang ditawan oleh kumpulan pejuang itu kepada hanya empat kilometer persegi di tebing timur Euphrates.

Kira-kira 600 orang pejuang mungkin masih berada di kawasan itu, kebanyakannya adalah warga asing, menurut jurucakap SDF, Mustafa Bali. – AFP

Pasukan Demokratik Syria sokongan AS menyatakan bahawa ia telah melancarkan ‘serangan terakhir’ dengan mengerahkan pesawat dan meriam bagi menghapuskan kumpulan IS di timur Syria. – AFP