Pertempuran sempadan ragut 20 tentera

NEW DELHI, 17 JUN – Sekurang-kurangnya 20 tentera terbunuh dalam satu ‘pertempuran ganas’ dengan tentera China di wilayah sempadan dua negara terbabit.

Kedua-dua pihak menyalahkan antara satu sama lain, mengakibatkan ketegangan di Tibet yang dikuasai China dan wilayah Ladakh dikuasai India, sehingga mencapai tahap membimbangkan.

Sumber tentera India memberitahu AFP bahawa, pertempuran itu tidak membabitkan senjata, sebaliknya keganasan secara fizikal di mana anggota tentera terbabit dikatakan bertumbuk. Pergaduhan seumpamanya kerap berlaku antara negara yang berkongsi kawasan sempadan sepanjang 3,500-kilometer itu tetapi tiada yang terbunuh sejak 1975.

India pada mulanya hanya mengesahkan tiga kematian tetapi dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, pihak tentera India kemudian melaporkan seramai 17 lagi tentera yang ditugaskan di kawasan pedalaman itu maut selepas kritikal kerana terdedah kepada suhu bawah paras beku di kawasan altitud tinggi.

China menuduh tentera India mula menyerang pegawai tentera mereka dan mendakwa mereka sudah dua kali melanggar sempadan serta membuat provokasi termasuk menyerang. Jurucakap kementerian luar China, Zhao Lijian, berkata peristiwa itu mengakibatkan perbalahan fizikal yang serius membabitkan kedua-dua pihak.

“Kami sekali lagi meminta India supaya kekal di kawasan mereka dan kawal tentera mereka,” katanya.

Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar di New Delhi, Anurag Srivastava, menyelar tuduhan itu dan berkata pertempuran terbabit adalah satu percubaan China untuk mengubah status quo di sempadan. – AFP

Kenderaan Tentera Darat India memandu di jalan berhampiran gunung Chang La di wilayah Ladakh, wilayah Jammu dan Kashmir, berhampiran sempadan China kelmarin. Sekurang-kurangnya 20 tentera terbunuh dalam satu ‘pertempuran ganas’ dengan tentera China di wilayah sempadan dua negara terbabit. – AFP