Pertemuan bincang dua hala

Gambar oleh Infofoto

ROM, REPUBLIK ITALI, 29 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang ini, berkenan mengadakan Majlis Perjumpaan Dua Hala dengan Presiden Republik Itali, Tuan Yang Terutama Sergio Mattarella.

Semasa keberangkatan tiba di Palazzo del Quirinale, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah menerima tabik hormat dan melintasi barisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada para anggota Angkatan Bersenjata Republik Itali, sebelum dijunjung oleh presiden Republik Itali.

Delegasi kedua-dua buah negara kemudiannya diperkenalkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Tuan Yang Terutama.

Dalam perjumpaan tersebut, hubungan dua hala serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama telah dibincangkan. Antara lain, perdagangan dan pelaburan serta pelancongan diketengahkan bagi mengukuhkan lagi hubungan mesra antara kedua buah negara.

Terdahulu, keberangkatan tiba Baginda Sultan di Lapangan Terbang Antarabangsa Fiumicino, Rom, Republik Itali bagi menghadiri Sidang Kemuncak G20 berkenan dijunjung oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Itali, Puan Yang Terutama Datin Paduka Malai Hajah Halimah binti Malai Haji Yussof, yang menetap di Paris.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menaiki kenderaan khas menuju ke sebuah hotel ternama di Rom, tempat persemayaman Baginda di sepanjang Sidang Kemuncak G20 ini.

Negara Brunei Darussalam, selaku pengerusi ASEAN telah diundang sebagai ‘Guest of the Chair’ oleh Republik Itali, pengerusi G20, bagi menyertai perbincangan untuk memajukan agenda G20 pada tahun ini.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengadakan Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama Presiden Republik Itali, TYT Sergio Mattarella di Palazzo del Quirinale, Itali. – Gambar oleh Infofoto
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengadakan Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama TYT Sergio Mattarella.
Baginda Sultan berangkat tiba di hotel persemayaman.

Baginda Sultan berkenan menerima tabik hormat dan melintasi barisan kawalan kehormatan daripada anggota Angkatan Bersenjata Republik Itali.
Baginda Sultan sempat beramah mesra semasa tiba di tempat persemayaman.