ATHENS, GREECE, 27 JULAI – Putera mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman tiba di Greece kelmarin dalam lawatan pertamanya ke negara Kesatuan Eropah (EU) sejak pembunuhan seorang wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi pada 2018 yang mencetuskan kecaman dari seluruh dunia.
Putera Mohammed bin Salman, yang mengadakan lawatannya bersama delegasi kerajaan dan usahawan, bertemu dengan Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis dan akan menghadiri majlis menandatangani beberapa siri perjanjian pelaburan dan pertahanan dua hala.
Greece telah menjalin hubungan erat dengan Arab Saudi sejak beberapa tahun kebelakangan ini ketika ia mencari rakan sekutu di rantau yang lebih luas untuk menangani ketegangan yang berpanjangan dengan Turkiye, kebanyakannya mengenai sempadan laut dan hak penggerudian sumber minyak.
Tahun lalu, Greece dan Arab Saudi mengadakan latihan ketenteraan bersama di kepulauan Crete, Greece, dan Athens meminjamkan kerajaan itu bateri peluru berpandu daripada sistem pertahanan udaranya.
Putera Mohammed berkata dua negara itu sedang mengusahakan projek yang akan menjadikan Greece sebagai hab bagi Eropah dari segi hidrogen (bahan api), tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Para wartawan tidak dijemput untuk menghadiri mesyuarat tersebut dan tidak dibenarkan mengajukan soalan kepada kerabat diraja Arab Saudi berkenaan.
Selain itu, kedua-kedua negara juga merancang membangunkan pautan kabel data bernilai 800 juta euro yang dilaporkan beroperasi di bawah Laut Mediterranean dan dijangka siap pada 2025.
Lawatan Putera Mahkota ke Greece menyusuli pertemuannya dengan Presiden AS Joe Biden pada awal bulan ini di Jeddah, Arab Saudi. – AP