Pertemuan kali ketiga?

WASHINGTON, 12 April – Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kelmarin berkata beliau mungkin mengadakan pertemuan ketiga dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, lapor agensi berita China Xinhua.

Trump membuat kenyataan itu ketika bercakap kepada media bersama-sama rakan sejawatnya dari Korea Selatan, Moon Jae In sebelum mengadakan mesyuarat dua hala mereka di Rumah Putih.

Menurut transkrip penuh yang disediakan Rumah Putih, apabila disoal pemberita jika beliau merancang untuk bertemu Kim bagi sidang kemuncak ketiga, Trump berkata “ia boleh berlaku. Satu sidang kemuncak ketiga boleh berlaku. Dan ia adalah langkah demi langkah.”

Ditanya sama ada terdapat kemungkinan sidang kemuncak tiga hala yang membabitkan beliau, Kim dan Moon, Trump berkata “itu juga boleh berlaku.”

Bagi pihaknya, Moon berkata diplomasi peribadi antara Trump dan Kim telah membawa kepada ‘pengurangan ketegangan ketenteraan yang dramatik dan ketara di Semenanjung Korea.”

Selepas menamatkan sidang kemuncak di Hanoi, Vietnam pada 28 Februari lalu tanpa sebarang kata sepakat, Trump memaklumkan media bahawa Kim telah mendesak agar sekatan terhadap Pyongyang ‘secara keseluruhan’ ditarik balik sebagai pertukaran kepada pembasmian ‘sebahagian besar’ program senjata nuklear Korea Utara, yang tidak dipersetujui Amerika Syarikat.

Menteri Luar Korea Utara Ri Yong Ho, yang menyangkal dakwaan Trump, berkata negaranya hanya mencadangkan sebahagian daripada sekatan ditarik balik, iaitu langkah yang menjejaskan kehidupan rakyat negara itu dihapuskan terlebih dahulu. – Bernama

Reaksi Trump ketika bertemu dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un pada permulaan sidang kemuncak mereka yang bersejarah di Hotel Capella di Pulau Sentosa, Singapura pada 12 Jun tahun lalu. – AFP