Thursday, November 30, 2023
23.3 C
Brunei

    -

    Pertemuan MABIMS ke-20 di Singapura

    Oleh Yusrin Junaidi

    Rombongan negara diketuai oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama. – Gambar serahan KHEU

    SINGAPURA, 19 NOV – Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) kali ke-20 telah berlangsung di Republik Singapura, baru-baru ini.

              Menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal ugama (KHEU), rombongan negara telah diketuai oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

              Mesyuarat dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Menteri Kedua Kesihatan dan Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Islam Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

    Mesyuarat itu juga dihadiri oleh wakil Menteri Agama Indonesia, Haji Saiful Rachmat Dasuki; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Malaysia, TYT Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar dan Menteri Kanan, Misi Khas (Hal Ehwal Islam) Kerajaan Kemboja selaku Negara Pemerhati, TYT Neak Okhna Datuk Dr Othsman Hassan.

              Pada mesyuarat itu, para menteri membincangkan mengenai perkembangan terkini masyarakat Islam di rantau ini khususnya kemajuan program kerjasama berbentuk fokus strategik yang dijalankan di setiap negara di bawah Rancangan Strategik 2021-2025.

    Mesyuarat juga memperbaharui komitmen untuk mengukuhkan lagi kerjasama bagi merealisasikan lebih banyak kerjasama antara anggota-anggota MABIMS termasuk perkembangan platform digital.

     

    MoU antara Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura. – Gambar serahan KHEU

      Para menteri juga melancarkan satu produk hasil bersama negara-negara anggota MABIMS iaitu buku terbitan bersama Tafsir ‘Ilmi (Ayat-Ayat Kauniyyat) MABIMS yang mana Negara Brunei Darussalam selaku Negara Penyelaras.

    Terbitan itu bertemakan penciptaan alam yang menggambarkan kekuasaan, keindahan dan keagungan Allah Subhanahu Wata’ala dari perspektif Al-Quran melalui pendekatan Tafsir ‘Ilmi.

    Penerbitan buku itu bertujuan untuk bacaan umum, sambil mengajak masyarakat untuk mengagungkan Al-Quran sebagai sumber petunjuk dan inspirasi kemajuan umat dan peradaban manusia.

              Semasa pertemuan itu, satu Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama dalam Bidang Halal MABIMS juga ditandatangani.

    MoU antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Pemerintah Republik Indonesia, Kerajaan Malaysia dan Pemerintah Republik Singapura itu mencerminkan adanya persefahaman dan ikatan yang erat di dalam pembangunan bidang Halal di antara negara-negara anggota MABIMS.

    Ini termasuk pertukaran maklumat dan kepakaran dalam bidang persijilan halal, serta pertukaran hasil penyelidikan dan kajian aspek syariah, sains dan teknikal.

     

    Mesyuarat Pertemuan Tidak Rasmi MABIMS, – Gambar serahan KHEU

          Para menteri juga bersepakat mengajak seluruh umat Islam di rantau ini untuk terus konsisten dalam berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT agar mengembalikan keamanan dan melenyapkan segala kezaliman lantas meringankan penderitaan mereka yang terjejas.

              Pertemuan MABIMS kali ke-21 akan datang akan diadakan di Malaysia pada tahun 2025.

              Rombongan negara telah disertai oleh ialah Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim selaku ketua mesyuarat pegawai-pegawai kanan (SOM) Negara Brunei Darussalam; Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, Haji Mohammad Albi bin Haji Ibrahim, selaku ketua Sekretariat MABIMS Brunei; Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Zainab binti Morshidi; Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat I, Pengiran Muhammad Azrin bin Pengiran Jarail selaku pegawai Sekretariat MABIMS Brunei; Penolong Pendaftar, Fakulti Bahasa Arab di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Muhammad Yadiy bin Haji Mat Yassin; Pegawai Perantis Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, Dayangku Siti Nurkhairina binti Pengiran Metusin dan Pegawai Pelajaran Ugama di KHEU, Haji Razali bin Haji Mahal.

     

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Australia buat permohonan maaf kepada mangsa thalidomide

    SYDNEY, 29 NOV - Australia hari ini mengeluarkan permohonan maaf kepada mangsa yang terselamat daripada skandal ubat thalidomide, yang disifatkan oleh Perdana Menteri, Anthony...