Pertemuan semula eratkan persahabatan lama

Oleh Nurdiyanah R. & Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Seramai 30 bekas pelajar Sekolah Inggeris Sufri Bolkiah (SBES) dari Tingkatan 1J, 2J dan 3J tahun 1980 hingga 1982, hari ini dapat bersatu kembali pada majlis pertemuan pertama setelah 40 tahun yang berlangsung di sebuah restoran di Jerudong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Mantan Pengetua SBES, Dato Paduka Haji Abdul Gafar bin Haji Ismail dan isteri.

Pengerusi majlis, Awang Muhamad Ali bin Hassan dalam ucapannya turut berkongsi kegembiraan kerana dapat mengadakan perjumpaan pertama dan mengucapkan terima kasih atas kehadiran bekas pelajar dan guru yang mana perancangan untuk mengumpulkan semula bekas rakan sekelas dan guru mengambil masa setahun.

Pertemuan tersebut dapat memberi peluang kepada bekas rakan sekelas dan guru mengimbas semula nostalgia semasa di bangku sekolah lagi dan menjadikan perjumpaan itu untuk

Acara kemudian diteruskan dengan Majlis Tahlil dan Doa Arwah bagi bekas pelajar dan guru-guru SBES yang telah kembali ke rahmatullah.

Sementara itu, baru-baru ini, seramai 11 orang bekas anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pengambilan 1, tahun 1970 (1/1970) berkumpul semula setelah 50 tahun berlalu dalam majlis perjumpaan yang diadakan di sebuah restoran di ibu negara.

Pengerusi majlis, Staf Sarjan 850 (B) Haji Adanan bin Haji Moktal melahirkan rasa kesyukuran kerana dapat bertemu dan berkumpul bersama rakan-rakan yang telah lama bersara daripada PPDB.

Majlis perjumpaan muhibah jubli emas itu diselajurkan dengan bacaan Tahlil bagi anggota pengambilan 1/1970 yang telah kembali ke rahmatullah dan Doa Kesyukuran atas pertemuan berkenaan yang dibacakan oleh Pengiran Haji Ahmad bin Pengiran Sulaiman.

Majlis pertemuan yang merupakan salah satu acara tahunan antara bekas anggota polis pengambilan 1/1970 itu bertujuan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim yang telah lama terjalin di samping dapat mengimbas kembali kenangan bersama semasa menjalani latihan di Pusat Latihan Polis.

Bekas pelajar perempuan SBES 1980 hingga 1982 bergambar ramai pada majlis pertemuan semula berkenaan.
Gambar ramai bekas anggota PPDB pengambilan 1/1970 semasa mengadakan majlis perjumpaan semula, baru-baru ini. – Gambar serahan bekas anggota PPDB pengambilan 1/1970