Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Feb – Sekitar 55 penyertaan dari bekas pelajar tahun 1967, 1970-an, 1980-an, 1990-an Sekolah Inggeris Sufri Bolkiah, Tutong terlibat dalam perlawanan golf pertemuan semula bekas pelajar sekolah berkenaan baru-baru ini.
Turut menyertai perlawanan itu ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah yang juga merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan.
Perlawanan berkenaan berlangsung di Kelab Golf Pantai Mentiri dan diadakan sebagai wadah mengeratkan silaturahim di kalangan bekas penuntut sekolah Inggeris berkenaan setelah hampir 50 tahun menamatkan pembelajaran di sekolah tersebut.
Menurut salah seorang peserta acara berkenaan, ia tidak hanya dihadkan kepada pelajar tahun 1967 sahaja kerana ia turut mengumpulkan barisan pelajar tahun 70-an, 80-an dan juga 90-an.
Menurutnya lagi, selain mengenali generasi yang berbeza, ia turut menjadi platform amalan gaya hidup sihat terutama sekali kepada semua rakan seperjuangan.