‘Pertikaian tembok isu domestik AS’

BANDARAYA MEXICO, 10 Jan – Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador menyifatkan pertikaian yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) antara Parti Republikan dan Parti Demokrat berhubung pembinaan tembok yang ingin dibina oleh Presiden Donald Trump di sempadan AS-Mexico sebagai satu isu domestik.

“Kami tidak akan bertindak balas terhadap pendekatan yang dicetus oleh situasi dalaman Amerika Syarikat,” kata pemimpin Mexico itu dalam sidang akhbarnya pada sebelah pagi.

Beliau juga berkata Mexico berpendapat bahawa penyelesaian terbaik kepada ‘masalah migrasi’ boleh didapati dengan menangani puncanya.

“Apa yang telah kami cadangkan amat jelas. Kami kini memujuk dan meyakinkan kerajaan AS bahawa (penyelesaian) yang terbaik ialah membangunkan negara-negara Amerika Tengah dan Mexico. Wujudkan peluang pekerjaan dan produktiviti yang aktif,” kata Lopez Obrador.

Mengulas kenyataan Trump bahawa Mexico pada akhirnya akan membayar kos tembok itu menerusi manfaat yang diperoleh daripada AS seperti yang tertera cadangan dalam perjanjian perdagangan AS-Mexico-Kanada (USMCA), pemimpin berhaluan kiri itu hanya berkata “Itu pandangan beliau.”

Presiden Mexico itu juga berkata tahap keselamatan telah dipertingkat di sepanjang sempadan selatan negara tersebut susulan terdapat kemungkinan ketibaan karavan baharu yang terdiri daripada penduduk Amerika Tengah pada pertengahan bulan Januari.

“Apa yang kami inginkan daripada migran Amerika Tengah yang datang ke negara kami, yang transit melalui wilayah negara, memiliki perlindungan dan hak asasi mereka adalah terjamin. Pada masa yang sama, mengetahui siapa mereka dan dari mana mereka berasal akan memberikan mereka lebih banyak jaminan keselamatan,” katanya.

Trump pada Selasa malam, dalam satu ucapan yang disiarkan melalui televisyen mengenai ‘krisis kemanusiaan dan keselamatan di selatan sempadan AS’, berkata pembinaan tembok itu amat penting untuk keselamatan sempadan AS. – Bernama