Pertimbang guna robot untuk majlis konvokesyen

KUALA LUMPUR,2 JUN – Sebuah universiti di Malaysia mempertimbangkan penggunaan robot untuk menggantikan pelajar bagi menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen, tetapi kebanyakan pelajar menolak idea tersebut.

Sebuah video yang dikeluarkan oleh universiti berkenaan menunjukkan dua robot dengan berpakaian seperti seorang pelajar yang mengenakan jubah konvokesyen menerima ijazah daripada pegawai tertinggi universiti.

Wajah pelajar akan muncul di skrin yang dipasang pada kepala robot tersebut.

Profesor Madya Engku Fadzli Hasan Syed Abdullah, ketua kumpulan di Universiti Sultan Zainal Abidin yang mereka robot itu, mengatakan hari ini bahawa idea itu adalah untuk membolehkan pelajar mengambil bahagian dalam acara tersebut walaupun dalam jarak jauh.

“Kami akan menunjukkan wajah pelajar melalui robot semasa persidangan video,” kata ahli akademik dari universiti itu kepada AFP.

Walau bagaimanapun, para pelajar tidak teruja dengan idea itu dan meminta universiti menangguhkan upacara yang dijadualkan pada bulan Oktober dan November.

“Saya bersedia menunggu satu, dua, tiga atau beberapa tahun tetapi tolong biarkan saya naik ke pentas,” kata Nurhazwani Sa’aid di laman Facebook institusi itu.

Engku Fadzli bagaimanapun mengatakan bahawa idea itu hanyalah rancangan ketika ini dan universiti akan melakukan yang terbaik untuk menganjurkan majlis mengikut kesesuaian. Malaysia berdepan wabak virus itu dengan hampir 8,000 orang dijangkiti dan 115 kematian. – AFP

Gambar fail menunjukkan sebuah robot digunakan untuk memeriksa suhu badan. Sebuah universiti di Malaysia mempertimbangkan penggunaan robot untuk menggantikan pelajar bagi menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen. – AFP