Pertimbang kelonggaran untuk kanak-kanak semasa peralihan

Berikutan penurunan kes jangkitan wabak COVID-19 dan sasaran vaksinasi telah mencapai 70 peratus, negara kita akan memulakan fasa peralihan yang dijadualkan pada 19 November ini.

Sehubungan itu, semasa fasa peralihan itu langkah-langkah pengawalan mula dikurangkan secara berperingkat mengikut garis panduan yang disesuaikan dengan pembukaan semula masjid, surau dan balai-balai ibadat, fasiliti kesukanan dan premis-premis perniagaan serta perkumpulan ramai di tempat-tempat awam adalah dibenarkan bagi individu-individu yang telah melengkapkan dua dos vaksinasi dan dihadkan kapasiti tempat.

Meskipun berita ini menggembirakan rakyat dan penduduk di negara ini, namun agak menyedihkan bagi golongan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang terpaksa terus berkurung di rumah masing-masing. Ini kerana mereka masih dianggap berisiko tinggi kerana mereka belum menerima sebarang suntikan vaksin. Sudah hampir empat bulan tetap berkurung di rumah tanpa dapat ke mana-mana, sudah tentu boleh memberikan tekanan kepada mereka, seolah-olah sesi percutian mereka hanya dihabiskan di rumah dengan melakukan perkara yang terhad.

Namun, agak membingungkan jika benar dengan membiarkan kanak-kanak hanya berkurung di rumah masing-masing untuk mengelak risiko jangkitan, bagaimanakah pula jika mereka dijangkiti oleh ibu bapa atau ahli keluarga mereka yang sudah bebas keluar ke mana-mana? Bukankah ia juga dikira sama kanak-kanak dibenarkan untuk keluar ke mana-mana seperti orang-orang dewasa?

Berdasarkan pemerhatian saya, sesetengah orang membawa anak-anak kecil mereka ke kedai-kedai tetapi masih mengikut langkah-langkah SOP menghindar jangkitan seperti menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan menghindarkan diri daripada perkumpulan ramai. Dengan memberikan kebenaran kepada kanak-kanak keluar bersama keluarga sedikit sebanyak menjadi terapi mental kepada mereka setelah lama berkurung di rumah.

Justeru mungkin pihak relevan boleh mempertimbangkan perkara ini sesudah fasa awal peralihan ini untuk membenarkan kanak-kanak di bawah pengawasan orang tua mereka mengunjungi premis-premis makanan, perniagaan malahan mungkin ke hotel-hotel untuk meluangkan masa bercuti, apa lagi Disember kini menghampiri dan kanak-kanak mula bercuti daripada persekolahan online.

Ingin tahu