Pertimbang protokol kesihatan sebelum buka sempadan

KUALA LUMPUR, 19 JUN – Negara-negara ASEAN perlu berusaha ke arah pemulihan dan reka bentuk protokol kesihatan dengan mengambil kira rangkaian nilai pelancongan secara keseluruhan sementara menunggu pembukaan sempadan ASEAN.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata ini termasuk pengurusan sempadan, perjalanan udara, hospitaliti, pengusaha serta agensi pelancongan, mesyuarat dan acara, tarikan serta taman tema selain pengurusan dan perancangan destinasi.

Beliau berkata Organisasi Pelancongan Nasional (NTO) ASEAN juga harus menekankan keperluan melengkapkan pemain industri ASEAN, terutama dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana, dengan kemahiran serta ilmu norma-norma baharu yang diperlukan.

“Walaupun protokol keselamatan telah dibangunkan daripada segi teknikal oleh badan-badan sektoral ASEAN masing-masing, saya rasa NTO ASEAN harus bergerak ke arah memperkukuhkan kerjasama mereka dengan sektor swasta bagi merangsang permintaan industri pelancongan menerusi pemasaran strategik dan usaha-usaha promosi melalui platform digital.

“Sekarang semua orang bercakap mengenai norma-norma baharu, jadi industri pelancongan juga perlu berfikir tentang norma-norma baharu terutama dalam operasi harian perniagaan hotel dan pusat peranginan, taman tema, pusat beli-belah, persidangan dan pameran serta tarikan pelancongan lain. Ini telah dan akan dilakukan menerusi pelbagai platform seperti webinar, persidangan maya dan juga latihan secara dalam talian,” katanya.

Orang ramai melakukan pendaftaran masuk di kaunter sebelum berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) selepas kerajaan Malaysia mengumumkan kebenaran rentas sempadan negeri di bawah PKPP baru-baru ini. Protokol kesihatan sepatutnya dipertimbangkan untuk pembukaan sempadan di negara-negara ASEAN, menurut MOTAC. – Bernama

Noor Zari berkata demikian semasa sesi penstriman langsung dengan anggota Persekutuan Persatuan Pelancongan ASEAN (FATA) bertajuk ‘Way Forward for TOURISM in ASEAN Live Talk’ hari ini.

Selain itu, beliau berkata NTO ASEAN sedang merumuskan Strategi Pemasaran Pelancongan ASEAN baharu yang dipercayai bakal merintis jalan ke hadapan dan memacu aktiviti promosi bagi ASEAN untuk tempoh lima tahun akan datang bermula 2021 hingga 2025. Beliau berkata strategi itu telah mengambil kira langkah pemulihan keyakinan terhadap industri pelancongan dan menggalakkan perjalanan yang selamat.

“Kami menyedari bahawa usaha-usaha promosi pelancongan sedang giat dilakukan secara dalam talian dan menerusi platform media sosial bagi merangsang permintaan terhadap perjalanan dalam ASEAN, terutama dalam kalangan pengembara muda ASEAN yang tidak sabar untuk memulakan perjalanan di destinasi serantau sebagai pilihan pertama mereka.

Beliau turut mencadangkan agar negara-negara ASEAN membincangkan dengan lebih lanjut mengenai konsep ‘gelembung perjalanan’ dengan memulakan projek perintis masing-masing sebaik sahaja sempadan antarabangsa Malaysia dan negara berkaitan dibuka kerana ia mungkin membantu pertumbuhan industri itu.

Noor Zari berkata pasaran Intra-ASEAN adalah antara kunci kelangsungan dan kelestarian industri pelancongan kerana ia menyumbang lebih 40 peratus daripada jumlah keseluruhan ketibaan pelancong antarabangsa ke ASEAN pada 2019.  – Bernama