Pertimbangan kemasukan warga asing dikemas kini

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Pertimbangan khas kepada warga asing yang perlu membuat perjalanan masuk ke Negara Brunei Darussalam semasa Tahap 1 Pelan De-escalation pergerakan keluar dan masuk ke negara ini yang sedang berkuatkuasa pada masa ini adalah dikemas kini dari segi kategori-kategori perjalanan tertentu sahaja tertakluk kepada syarat.

Syarat-syarat tersebut ialah atas tujuan tugas rasmi dan urusan yang mustahak sahaja (essential travel); pelajar-pelajar warga asing yang menuntut di Negara Brunei Darussalam, sama ada di bawah biasiswa kerajaan atau persendirian; warga asing menjalani rawatan perubatan di Negara Brunei Darussalam; dan mana-mana pertimbangan khas yang diberikan secara ‘case-by-case’ iaitu tertakluk kepada penilaian pihak kerajaan terhadap sebab perjalanan tersebut.

Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam bertempat di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini. “Warga asing yang berhasrat untuk membuat perjalanan seperti yang dinyatakan hendaklah dijamin atau ditaja (sponsored) sebelum memasuki Negara Brunei Darussalam,” jelasnya.

Menurut Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew, setiap permohonan untuk mendapatkan ‘Entry Travel Pass’ hendaklah dibuat melalui portal Jabatan Perdana Menteri di laman web www.pmo.gov.bn/travelportal dengan tatacara tertentu.

“Hanya penjamin kepada warga asing tersebut iaitu sama ada agensi kerajaan, syarikat swasta atau penjamin individu yang tertentu sahaja yang membuat permohonan. Penjamin hendaklah menyertakan dokumen-dokumen sokongan semasa menghadapkan permohonan.

Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua ketika berucap pada sidang media berkenaan.

Permohonan kemasukan warga asing akan seterusnya dipertimbangkan berdasarkan kategori dan keperluan perjalanan ke Negara Brunei Darussalam serta penilaian risiko negara di mana mereka berada.

“Jika permohonan tersebut diberikan kebenaran, penjamin adalah dikehendaki untuk membuat bayaran ujian swab COVID-19 (RT-PCR) yang mana akan dijalankan terhadap warga asing berkenaan setelah tiba di Negara Brunei Darussalam nanti,” jelas Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua.

Menurutnya, bagi mana-mana permohonan yang telah diberikan kebenaran, warga asing yang akan dijamin masuk ke Negara Brunei Darussalam adalah dikehendaki untuk mempunyai keputusan ujian swab COVID-19 (RT-PCR) yang negatif sebelum masuk ke negara ini. Jelasnya lagi, penjamin juga adalah dikehendaki untuk membuat tempahan penginapan di hotel-hotel yang diiktiraf bagi pihak warga asing tersebut untuk pengasingan diri mandatori mereka setelah memasuki negara ini. Jelas beliau, tempoh pengasingan diri adalah di antara dua ke 14 hari bergantung kepada penilaian Kementerian Kesihatan berdasarkan kepada syarat-syarat penilaian tertentu setelah tiba di negara ini.

“Syarat-syarat dan tata-cara kemasukan warga asing ke negara ini seperti yang dinyatakan akan berkuatkuasa bagi perjalanan masuk bermula hari Selasa, 15 September 2020 jam 00:01 pagi.

Sekatan perjalanan masih dikuatkuasakan bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dari meninggalkan negara ini manakala warga asing pada amnya masih tidak dibenarkan masuk ke negara ini. Berkaitan dengan warganegara dan penduduk tetap Brunei yang akan pulang ke negara ini, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa mereka masih diperlukan untuk menjalani pengasingan diri di hotel-hotel penginapan tertentu.

Manakala, bagi warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang tidak dapat memperolehi ujian swab COVID-19 (RT-PCR) sebelum berlepas ke Negara Brunei Darussalam akan dikehendaki menjalani ujian swab COVID-19 pada hari kelima ketibaan ke negara ini dan seterusnya menjalani pengasingan diri selama tujuh ke 14 hari di hotel-hotel bagi penga-singan diri mandatori.

Bagi warganegara dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang kembali setelah membuat perjalanan ‘essential’ atas urusan rasmi, selepas menamatkan pengajian di luar negara atau rawatan perubatan atas biayaan kerajaan akan ditempatkan di hotel-hotel penginapan tertentu yang ditetapkan dan dibiayai oleh pihak kerajaan. Bagi kategori perjalanan ‘essential’ tersebut, kos ujian swab COVID-19 (RT-PCR) juga akan dibiayai oleh pihak kerajaan.

Menurut Yang Berhormat Dato, warganegara dan penduduk tetap yang berhasrat untuk kembali ke negara ini juga adalah dinasihatkan untuk membuat Deklarasi Ketibaan bagi perjalanan masuk bermula hari Selasa, 15hb September 2020 jam 00:01 pagi bagi memudahkan pengurusan logistik semasa ketibaan mereka ke tanah air.

Borang deklarasi tersebut serta garispanduan yang lebih terperinci mengenainya boleh didapati melalui central portal di Jabatan www.pmo.gov.bn/travelportal.