Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 29 Mei – Bagi mengeratkan hubungan silaturahim dengan masyarakat kampung, tiga buah balai polis berasingan di Daerah Tutong dan Belait telah mengendalikan Program Pendekatan Pengawasan Kejiranan (PK).
Pada lazimnya setiap penghujung bulan, anggota Focal Point PK akan membuat pemantauan di rumah Ketua Kampung Labi 11, Haji Matussin bin Matzin semasa penerimaan pencen dan kebajikan penduduk kampung berkenaan
Pendekatan tersebut telah diketuai oleh Lans Koperal Muhd Izzat Izuddin bin Abdullah Leong.
Aktiviti seperti itu sentiasa dilakukan bagi berkongsi maklumat dan pandangan selain untuk menjalinkan dan mengeratkan silaturahim yang telah sedia ada antara penduduk kampung dan pihak polis.
Sementara itu, Balai Polis Kuala Belait juga berganding bahu dalam sama-sama membuat pemantauan dan pengawasan di rumah kediaman penghulu dan ketua-ketua kampung di Mukim Belait semasa penerimaan pencen dan kebajikan di kampung berkenaan.

Hadir sama ialah Penghulu Mukim Belait, Haji Pungut bin Ali; Ketua Kampung Pandan A, Awang Sulaiman bin Udin; Ketua Kampung Pandan B, Haji Abdul Malik bin Abu Bakar dan Ketua Kampung Mumong, Haji Yusof bin Dulamin.
Pendekatan yang sama juga telah dilakukan oleh Balai Polis Lamunin, Daerah Polis Tutong bersama Ketua Kampung Panchong, Haji Muhammad Shah Asnawi bin Abdul Rahim.
Pihak polis berharap dengan adanya program pendekatan yang dikendalikan akan dapat mewujudkan dan mempertingkatkan lagi perhubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat awam dengan pihak polis bagi tujuan memberikan kefahaman sepenuhnya mengenai matlamat PK untuk membasmi serta mencegah jenayah daripada berleluasa di negara ini.