Pertingkat kawalan akuakultur bagi kemapanan alam sekitar

HONOLULU – Berikutan daripada kehangatan isu penangkapan ikan secara komersial semakin mengancam jumlah populasi ikan di seluruh dunia, pihak berkuasa di Amerika Syarikat giat mengusahakan rancangan untuk mengembangkan ternakan ikan di kawasan perairan persekutuan di sekitar Lautan Pasifik.

Kerajaan melihat langkah perkembangan terhadap ternakan akuakultur itu sebagai satu penyelesaian terhadap isu penangkapan ikan secara berlebihan,

Namun terdapat juga beberapa ahli penyokong alam sekitar menyatakan bahawa industri ternakan yang dirancang itu akan meningkatkan lagi risiko terutama kepada keadaan alam sekitar.

Pentadbiran Laut dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) cuba mewujudkan rancangan untuk menguruskan ladang ternakan ikan di kawasan persekutuan perairan laut pada kira-kira tiga hingga 200 batu dari pesisir pantai di Hawaii dan beberpa kepulauan lain di Pasifik.

Program ini adalah sama sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh NOAA di Teluk Mexico. Ladang ternakan di Teluk dan kepulauan Pasifik itu adalah dua ternakan akuakultur yang beroperasi di kawasan perairan di Persekutuan Amerika Syarikat walaupun terdapat beberapa ternakan yang beroperasi secara kecil-kecilan di kawasan yang berdekatan dengan pantai.

Ternakan ikan telah lama diamalkan selama beberapa abad yang lalu di Hawaii dan di seluruh dunia. Namun beberapa ahli penyokong alam sekitar menjelaskan bahawa ternakan akuakultur moden boleh mengundang kepada risiko pencemaran dan terdapat juga potensi ikan-ikan yang diternak itu terlepas dan masuk ke dalam ekosistem semula jadi.

Kebanyakan kerang yang dimakan di Amerika Syarikat didatangkan daripada ternakan dan kaedah ternakan yang dilakukan dianggap cukup meluas dan sangat mampan.

Walau bagaimanapun, beberapa spesies ikan karnivor seperti salmon pula menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli penyokong alam sekitar memandangkan spesies ikan tersebut mungkin tidak biasa dengan habitat barunya di mana pada biasanya ia bebas memburu ikan lain sebagai makanannya.

Pada dasarnya, terdapat tiga cara untuk menternak ikan iaitu sistem ternakan berasaskan tanah dan memerlukan pengepaman air masuk dan keluar, ternakan yang dijalankan berdekatan dengan kawasan pesisir pantai di mana operasinya dilaksanakan dengan gabungan unsur semula jadi dan bahan buatan manusia serta sistem ternakan yang dilaksanakan di luar pesisiran pantai.

Bekas Ketua Saintis NOAA dan Pengasas Kumpulan Pejuang Laut, Sylvia Earle menjelaskan bahawa terdapat pilihan untuk mendapatkan kemapanan alam sekitar dan sektor ekonomi berbanding sistem ternakan akuakultur terbuka yang jelas memerlukan sangkar ikan bersaiz besar di mana ia boleh menjejaskan keadaan alam sekitar,

“Kita harus bijak memilih yang terbaik untuk ternakan akuakultur dan memastikan kembali misi sebenar ternakan tersebut sama ada untuk memenuhi permintaan agar mempunyai sumber makanan yang terdiri daripada ikan atau lebih tamak iaitu bagi mendapatkan keuntungan yang berlipat kali ganda dengan pasaran yang lebih meluas sehingga mengancam keadaan alam sekitar,” jelas Sylvia Earle.

Tahun lalu, NOAA dan Institusi Scripps telah meletakkan nilai ekonomi sebanyak AS$17 bilion setahun termasuk AS$4.4 bilion bagi tujuan penangkapan ikan secara komersial dan AS$12.9 bilion bagi kelengkapan karbon.

“Kita harus bijak dalam mengenal pasti nilai sebenar sumber laut terutama bagi memastikan kegunaannya sama ada ia digunakan sebagai makanan atau pun produk semata-mata,” jelas Earle.

Pelbagai teknologi baru juga sedang giat dilaksanakan bagi aktiviti ternakan aktiviti akuakultur dan banyak syarikat dari Amerika Syarikat yang telah menghantar kru ke luar negara bagi mengusahakan ternakan tersebut, jelas pegawai-pegawai dari NOAA.

Dr. Sylvie Earle menunjukkan demonstrasi dalam sebuah mesin penyelam yang digunakan bagi tujuan penyelidikan di dasar laut.
Dr. Sylvie Earle menunjukkan demonstrasi dalam sebuah mesin penyelam yang digunakan bagi tujuan penyelidikan di dasar laut.
Kawalan ketat daripada NOAA jelas diperlihatkan pada ternakan akuakultur bagi memastikan ia terus dapat mengeluarkan hasil yang memuaskan.
Kawalan ketat daripada NOAA jelas diperlihatkan pada ternakan akuakultur bagi memastikan ia terus dapat mengeluarkan hasil yang memuaskan.

Pelan NOAA turut mewujudkan skim kawal selia dan kebenaran untuk mengusahakan industri. “Ia merupakan satu pengetahuan asas yang penting untuk mengetahui lebih terperinci mengenai undang-undang alam sekitar bagi usaha ternakan akuakultur yang giat dilaksanakan di China dan beberapa buah negara di Asia Tenggara,” jelas Pentadbir Perikanan Marin Serantau NOAA, Michael Tosatto.

Menurut Tossatto, kebanyakan negara mendapat bekalan ikan hidup dari Amerika Syarikat dan menternaknya di negara masing-masing serta mengimport kembali produk hasil ternakan ikan itu ke Amerika Syarikat. Pada tahun 2014, hasil ternakan yang diimport itu telah berjaya mengumpulkan keuntungan sebanyak AS$1.3 bilion di mana ia turut menyumbang sebanyak 19 peratus kepada hasil ekonomi negara.

NOAA telah cuba untuk mewujudkan industri akuakultur di kawasan perairan persekutuan selama bertahun-tahun. Namun cubaan untuk mendapatkan undang-undang bagi pelaksanaan akuakultur di laut terbuka itu telah gagal.

“Justeru, NOAA telah berpindah kepada proses pengurusan perikanan sebagai satu cara untuk bergerak ke hadapan terutama dalam akuakultur lautan secara lebih terkawal,” jelas Pengarah Eksekutif Ternakan NOAA, Marianne Cufone.

Pertubuhan NOAA yang berpangkalan di New Orleans telah giat membangunkan sistem akuakultur yang berasaskan sistem lebih terkawal berbanding di lautan bebas di mana ia boleh mengancam keadaan alam sekitar,” jelas Cufone yang turut dipersetujui oleh Earle.

Sementara itu, barisan penyelidik juga giat melaksanakan kajian di Big Island, Hawaii dalam memastikan bahawa kawasan lautan tersebut selamat dan sesuai untuk dijadikan ternakan akuakultur.

Puak asli di Hawaii telah lama mempraktikkan cara ternakan akuakultur secara mapan di mana mereka telah membina dinding di kawasan pantai bagi membolehkan air segar dari kawasan pergunungan dan air masin dari laut mengalir masuk dan keluar.

Kawasan perairan yang telah didinding itu akan sentiasa di pantau bagi memastikan keadaan kebersihan air, kesihatan spesies ikan sekali gus memastikan kawasan yang disediakan tersebut adalah sesuai dengan habitat asal hidupan marin tersebut. – AP