Pertubuhan Kasih Neelofa bantu orang susah

Selepas beberapa tahun berusaha, kini impian pengacara, Neelofa untuk menubuhkan pertubuhan kebajikan pertamanya menjadi kenyataan.

Menamakannya sebagai Pertubuhan Kasih Neelofa, kata pemilik nama penuhnya, Noor Neelofa Mohd Noor itu, ia adalah platform terbaik untuknya mendekatkan diri dengan masyarakat secara menyeluruh.

“Sejujurnya, saya sudah lama berhajat membangunkan pertubuhan demi membantu golongan yang memerlukan. Namun, saya tidak mahu ia berjalan tanpa membabitkan saya secara keseluruhan.

“Saya mahu memberi fokus seratus peratus dan mendalami masalah dihadapi oleh masyarakat.

“Sebagai contoh, jika saya terlihat seseorang yang memerlukan bantuan di laman Twitter, saya akan cuba mendekati individu berkenaan dan terus berhubung dengannya. Saya mahukan pendekatan seperti ini,” katanya.

Neelofa mewujudkan Pertubuhan Kasih Neelofa bertujuan membantu masyarakat dengan pemberian sumbangan secara konsisten dan menyeluruh. – Agensi

Pertubuhan Kasih Neelofa bertujuan bagi membantu masyarakat dengan pemberian sumbangan secara konsisten dan menyeluruh.

Neelofa berkata, tiga teras utama yang diberi perhatian adalah teras ke-agamaan, kemasyarakatan dan bantuan untuk golongan kurang bernasib baik.

“Teras keagamaan meliputi apa sahaja aktiviti seperti program keilmuan dan keagamaan. Bagi teras kemasyarakatan, kami akan cuba mendekati komuniti dengan melaksanakan program bersama tenaga kerja Pertubuhan Kasih Neelofa dan sukarelawan.

“Bagi teras bantuan untuk golongan kurang bernasib baik pula, kami fokus kepada mereka yang terpinggir dan kurang berkemampuan seperti asnaf, ibu tunggal dan anak yatim.

“Kami akan cuba mendekati golongan ini dengan mendengar keluhan serta masalah mereka. Kemudiannya, kami cuba menyelesaikan atau meringankan beban melalui bentuk sumbangan atau penganjuran aktiviti amal,” katanya.

Neelofa berkata, menerusi Pertubuhan Kasih Neelofa, dia cuba membantu semua supaya tidak ada sesiapa pun ketinggalan.

Selain itu, Neelofa berkata, dia turut menubuhkan syarikat Kasih Neelofa Resources, iaitu sebuah entiti yang berfungsi menjana pendapatan untuk menggerakkan Pertubuhan Kasih Neelofa. – Agensi