Pertukaran nama kementerian, pelantikan beberapa pegawai

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Dis – Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Baginda Sultan telah mengurniakan titah perkenan ke atas pertukaran nama Kementerian Perhubungan menjadi Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Dalam pada itu juga, Baginda Sultan telah mengurniakan titah perintah bagi pelantikan pegawai-pegawai kanan berikut iaitu Pengarah Penerbangan Awam, Haji Muhammad Nazri bin Haji Muhammad Yusuf menjadi Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Pengarah Pengangkutan Darat, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud menjadi Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan, Penyelidikan dan Perkembangan), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Ketua Pos Agung, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim menjadi Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi, Cybersecurity, Strategi dan Korporat), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; dan Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak menjadi Ketua Pegawai Eksekutif AITI bertaraf Timbalan Setiausaha Tetap.

Tarikh pertukaran nama dan pelantikan pegawai-pegawai berkenaan berkuatkuasa mulai Sabtu, 15 Disember 2018 bersamaan 7 Rabiulakhir 1440.