Pertumbuhan demografi, tonggak pembangunan China

BEIJING, 12 MEI – China kelmarin mengumumkan keputusan bancian kebangsaan kali ketujuh yang menyaksikan sejumlah 1.41 bilion penduduk pada 2020 merangkumi kira-kira 18 peratus jumlah penduduk dunia.

Statistik itu juga menunjukkan, pertumbuhan demografi di China sedang beralih kepada pertumbuhan bakat atau kemahiran.

Statistik bancian itu menunjukkan dalam tempoh 10 tahun lalu, jumlah penduduk di negara ini bertambah 72.06 juta. Antaranya penduduk dalam lingkungan umur 16 hingga 59 tahun yang bekerja adalah sebanyak 880 juta. Sementara itu, purata umur penduduk China ialah 38.8 tahun, lebih kurang sama dengan Amerika Syarikat (AS).

Penduduk dalam lingkungan umur itu yang mendapat pendidikan peringkat sekolah menengah ke atas berjumlah 385 juta, merangkumi 43.7 peratus, meningkat 12.8 peratus berbanding tahun 2010.

Ia jelas menunjukkan berlaku perubahan struktur penduduk selaras dengan transformasi ke arah pembangunan bermutu tinggi yang dilaksanakan kerajaan China.

Bagaimanapun, China tetap menghadapi cabaran serius seperti Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) yang mencatatkan kadar agak rendah, iaitu 1.3.

Golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas pula melebihi 260 juta, sebanyak 18.7 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Justeru, China sedang mengambil pelbagai langkah untuk membangunkan ekonomi warga emas. – Bernama