Pertumbuhan ekonomi asia dijangka susut 2020

MANILA, 15 SEPT – Ekonomi di seluruh Asia Pasifik yang terjejas akibat wabak COVID-19, dijangka mencatat pemulihan perlahan pada tahun depan selepas mengalami kejatuhan besar, ramal Bank Pembangunan Asia hari ini.

Bagaimanapun, bank itu memberi amaran bahawa pelanjutan sekatan bertujuan memerangi pandemik berkenaan boleh mengganggu usaha rantau berkenaan untuk kembali mencatat pertumbuhan.

Asia yang sedang membangun – bermula dari Kepulauan Cook di Pasifik hingga Kazakhstan di Asia Tengah – dijangka menguncup tahun ini untuk kali pertama dalam tempoh hampir enam dekad, menyebabkan puluhan juta orang terjerumus ke dalam masalah kemiskinan, menurut bank berpangkalan di Filipina itu.

Pengurangan 0.7 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding pertumbuhan 0.1 peratus yang dianggarkan bank itu pada Jun lalu, bakal menandakan ‘penyusutan KDNK serantau yang pertama sejak awal 1960an,” katanya.

“Kemerosotan berlaku secara menyeluruh, dengan hampir tiga perempat daripada ekonomi serantau diunjurkan menyusut – yang terbesar dalam tempoh enam dekad lalu,” menurut bank itu.

Meskipun rantau itu dijangka bangkit semula pada tahun depan dengan KDNK diunjurkan tumbuh 6.8 peratus, ia akan ‘jauh lebih kecil’ berbanding ramalan sebelum COVID-19 melanda.

“Oleh itu, pemulihan serantau akan berbentuk L dan bukannya V,” kata bank, mendapati pandemik berlarutan merupakan ancaman utama kepada prospek.

Bank itu mengingatkan bahawa pelaksanaan semula sekatan virus yang ketat mungkin menghambat pemulihan malah akan mencetuskan ‘krisis kewangan’. – AFP

Pelanggan melihat produk di sebuah kedai barang mainan di gedung membeli-belah di Beijing kelmarin. Ekonomi di seluruh Asia Pasifik dijangka menguncup tahun ini untuk kali pertama dalam enam dekad, kata Bank Pembangunan Asia. – AFP