Friday, September 30, 2022
25.5 C
Brunei

Pertumbuhan ekonomi Malaysia terbaik di Asia Tenggara

-

KUALA LUMPUR, 14 OGOS – Pertumbuhan ekonomi Malaysia merekodkan sebanyak 8.9 peratus untuk suku kedua tahun ini adalah yang terbaik di Asia Tenggara sekali gus membuktikan kerajaan tidak gagal seperti didakwa pembangkang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pertumbuhan positif itu disumbang keputusan kerajaan untuk membuka semula semua sektor ekonomi dan sempadan negara yang berjaya mengembalikan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.

“Sejak mengambil alih kepimpinan, pengangguran jatuh daripada 4.3 peratus kepada 3.8 peratus yang hampir menyamai paras sebelum pandemik.

“Pelaburan langsung asing (FDI) mencapai rekod paras tertinggi pada suku keempat 2021 dengan mencatatkan sebanyak RM26.7 bilion disusuli dengan RM23.3 bilion pada suku pertama 2022,” katanya pada sesi Bicara Hati Perdana Menteri sewaktu Konvensyen Wanita Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia.

Perdana Menteri Malaysia berkata pengumuman terbaharu kemasukan FDI pada suku kedua 2022 sebanyak RM24.1 bilion menjadikan kemasukan FDI untuk tempoh sembilan bulan berjumlah RM74.1 bilion, mengatasi jumlah FDI pada 2021, 2020, 2019 dan 2018.

Ismail Sabri berkata, dalam pertemuan bersama peneraju industri ketika mengadakan lawatan ke luar negara seperti Jepun dan Amerika Syarikat, beliau dimaklumkan mereka masih berminat untuk melabur di Malaysia.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata intervensi kerajaan, antaranya menerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, berjaya mengawal dan menurunkan harga barang seperti ayam dan minyak masak di pasaran. – Bernama

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika hadir pada Konvensyen Wanita Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. – Bernama
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China: Tiada siapa berhak guna veto nasib rakyat Palestin

BEIJING, 29 SEPT - China menegaskan tiada siapa berhak menggunakan kuasa veto masing-masing dalam isu-isu mengenai masa depan dan nasib rakyat Palestin, lapor agensi...
- Advertisment -