BANGKOK, 15 OGOS – Ekonomi Thailand berkembang 2.5 peratus pada suku kedua apabila pelancong asing yang kembali ke negara itu gagal mengimbangi inflasi tinggi selain bimbang dengan ketegangan serantau, kata agensi ekonomi utama negara itu hari ini.
Ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu terjejas teruk semasa pandemik, meskipun jumlah pengunjung perlahan-lahan bertambah baik dengan pelonggaran peraturan perjalanan sejak Mei.
Tetapi perang Ukraine dan kini ketegangan ke atas Taiwan boleh memberi risiko kepada pemulihan ekonomi, tekan Majlis Pembangunan Ekonomi dan Sosial Kebangsaan (NESDC) Thailand.
“Kami perlu terus memantau untuk melihat berapa lama tindak balas daripada China ke atas Taiwan akan berlarutan,” kata Setiausaha Agung NESDC, Danucha Pichayanan.
“Pelonggaran kawalan COVID kami, pemulihan pelancongan adalah faktor yang menyokong pertumbuhan,” ujarnya.
Agensi itu berkata keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat 2.5 peratus pada April hingga Jun berbanding tempoh yang sama setahun lalu – jauh di bawah jangkaan pertumbuhan tiga peratus.
NESDC juga menyemak semula jangkaan kadar pertumbuhan tahun penuh daripada 2.5-3.5 peratus kepada 2.7-3.2 peratus.
Ahli ekonomi Charl Kengchon dari Pusat Penyelidikan Kasikorn, menyifatkan hasilnya sebagai ‘bercampur baur’, dengan rangsangan pelancongan gagal meningkatkan pertumbuhan. – AFP

Thailand pada 16 Julai. Meskipun pelancong asing mula mengunjungi negara itu, namun ekonominya masih perlahan disebabkan inflasi tinggi. – Xinhua