Pertumbuhan ekonomi Vietnam satu kejayaan besar

HANOI, 27 DIS – Vietnam hari ini melaporkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 2.91 peratus pada 2020, kadar paling perlahan dalam tempoh 30 tahun ketika negara itu dilanda pandemik koronavirus.

Negara komunis itu telah lama menjadi antara negara Asia paling cepat berkembang dari segi ekonomi, dan kadar perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2020 jatuh sebanyak tujuh peratus berbanding tahun lalu.

Tetapi prestasi Vietnam dilihat lebih baik dalam konteks kemelesetan global berpunca dari pandemik dan pegawai memujinya sebagai ‘kejayaan besar’.

Pejabat Statistik Agung (GSO) yang berpangkalan di Hanoi berkata dalam kenyataannya hari ini bahawa pertumbuhan bagi suku terakhir adalah 4.48 peratus, menyumbang kepada angka 2.91 peratus akhir tahun.

“Dalam konteks perkembangan yang rumit pandemik COVID-19 telah memberi impak buruk kepada situasi ekonomi sosial, tetapi ini merupakan kejayaan besar buat Vietnam,” menurut GSO dalam satu kenyataan.

Ketika kebanyakan negara terjejas dari kes jangkitan dan kadar kematian yang tinggi, Vietnam – negara yang mempunyai penduduk seramai 96 juta orang – merekodkan kurang daripada 1,500 kes koronavirus dan hanya mencatatkan 35 kematian.

Langkah kuarantin secara besar-besaran, meluaskan pengesanan kontak dan kawalan ketat terhadap pergerakan telah membenarkan negara kembali membuka kilang-kilang utama dan orang ramai kembali bekerja seperti biasa.

Angka rasmi mengalahkan jangkaan Kumpulan Wang Antarabangsa iaitu perkembangan sebanyak 2.4 peratus bagi Vietnam. Bank Dunia berkata Vietnam akan menikmati lebih banyak kejayaan pada 2021.

“Memandang ke hadapan, prospek Vietnam nampak positif ketika ekonomi dijangka akan berkembang kira-kira 6.8 peratus pada 2021 dan selepas itu stabil kira-kira 6.5 peratus,” kata Bank Dunia dalam laporan terkini. – AFP

Vietnam melaporkan pertumbuhan ekonomi pada 2020 yang dianggap sebagai kejayaan besar meskipun kadar tersebut adalah paling perlahan dalam tempoh 30 tahun ketika negara itu dilanda pandemik koronavirus. – AP