Pertumbuhan KDNK petunjuk ekonomi pulih

KUCHING, 18 OGOS – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.9 peratus yang kukuh pada suku kedua 2019 (Q2 2019) menjadi petunjuk bahawa ekonomi Malaysia pada hala tuju yang betul dan di landasan kepada pemulihan, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen.

Beliau berkata pencapaian itu lebih dikagumi dalam keadaan ekonomi global tidak menentu seperti perang dagang antara Amerika Syarikat dan China, permintaan luaran yang lemah, jangkaan ekonomi global yang lembap serta harga komoditi dan minyak mentah yang rendah. “Prestasi pertumbuhan Q2 2019 yang kukuh mengatasi unjuran kebanyakan ahli ekonomi mengenai ekonomi Malaysia.

“Kita juga mengatasi jiran kita, Singapura, yang mencatatkan pertumbuhan negatif pada suku kedua tahun ini,” kata Chong, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata pencapaian itu juga daripada langkah-langkah ekonomi tertumpu kerajaan, dasar pengembangan dan keyakinan pelabur yang meningkat daripada kerajaan yang lebih telus dan bersih. Bagaimanapun, Chong berkata kesan ekonomi yang positif mungkin tidak dirasai dengan segera oleh rakyat berikutan ia biasanya mengambil masa beberapa bulan bagi impak penuh untuk sampai kepada setiap lapisan masyarakat.

“Selepas terbukti berjaya dalam dasar am dan hala tuju kerajaan PH, kami akan terus bekerja keras dan terus fokus dengan dasar-dasar ekonomi am ini dan tadbir urus yang baik,” katanya. – Bernama