Pertunjukan bakat seni membentuk pasir

Oleh Daniel Lim

Belait, 13 SEPT – Ke arah mempamerkan kreativiti peserta untuk membentuk pasir dalam pelbagai struktur, Kelab Brits Brunei (BBC) dari kelab Panaga telah mengadakan pertandingan Sand Sculpting Spectacular yang merupakan acara tahunan mereka di pantai Kelab Panaga petang kelmarin.

Seramai 100 orang telah mengambil bahagian terdiri daripada anggota BBC dan juga para jemputan yang hadir. Pertandingan itu merupakan kesempatan untuk memeriahkan kawasan tepi pantai dan sekitarnya dengan ukiran pelbagai tema yang dibuat dengan bersungguh-sungguh oleh semua peserta, dari kanak-kanak hinggalah orang dewasa, di samping itu mereka dapat menikmati dan menghabiskan masa mereka untuk bersantai.

Ketua BBC, Marie McCready menyatakan bahawa peraduan itu dibukakan untuk bukan sahaja kepada ahli, tetapi juga kepada sesiapa sahaja yang ingin menghabiskan masa hujung minggu mereka di pantai tersebut dan membina apa sahaja dari pasir pantai.

“Mereka boleh membina bentuk apa sahaja, dari patung pasir hingga istana pasir, dan ia dilakukan secara santai sambil menikmati pantai di mana kita tinggal,” katanya.

Tambahnya ia sesuatu yang sukar untuk menilai kreativiti peserta memandangkan seramai 100 peserta telah bertanding dari 24 buah pasukan untuk membina pelbagai struktur pasir.

Antara peserta menunjukan bakat seni membentuk pasir yang hampir siap.

Walaupun penilaian dibuat oleh anggota kumpulan yang terpilih, dia menyatakan bahawa terdapat berbagai kate-gori untuk memastikan bahawa semua peserta dapat menikmati waktu mereka di tepi pantai sepenuhnya.

Oleh kerana kelab ini kerap melakukan aktiviti sepanjang tahun, disebabkan COVID-19 baru-baru ini, kebanyakan acara telah dibatalkan.

“Diharapkan kita akan mula mengadakan lebih banyak acara mengikut garis panduan pelan de-escalation kerana kita merancang untuk mengadakan acara lagi pada bulan Disember tahun ini,” tambahnya.

Di akhir pertandingan, penyampaian hadiah disampaikan kepada pemenang bagi setiap kategori dengan penciptaan bentuk pasir terbaik ialah Pasukan Three Musketeers, sementara Pasukan Ravensburg dan Pasukan Nelson yang berjaya menarik perhatian juri dengan kemahiran ukirannya yang teliti dalam membuat arca pasir, ketiga-tiga pasukan menerima baucar daripada Azul Beach Cafe.

Orang ramai yang berminat dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti kelab boleh mengunjungi media sosial rasmi mereka di Facebook dan Instagram.