Pertunjukan singa dalam rumah di Mesir

KAHERAH – Di salah sebuah pangsapuri di Kaherah, yang terletak tidak jauh dari jalan yang sibuk di sepanjang Sungai Nil, Ashraf el-Helw, seorang pelatih singa Mesir generasi ketiga, bersiap untuk pertunjukan singanya itu.

Dari gelanggang sarkas kepada ruang tamu menjadi panggungnya. Dia telah menyiarkan satu video dalam talian di mana singanya melakukan aksi di dalam kediamannya sejak Mesir dikenakan sekatan untuk membendung penyebaran koronavirus (COVID-19), termasuk sekatan pada waktu malam.

Dia kini bersiap sedia untuk membuat filem kedua dan mengatakan masih banyak yang sedang dilakukannya, di mana dia juga ingin mendorong agar semua orang terus tinggal di rumah di tengah-tengah wabak itu.

Video pertama mendapat sambutan yang luar biasa dari warga Mesir di media sosial tetapi video itu juga menimbulkan persoalan mengenai bagaimana keluarga pelatih singa yang paling terkenal di negara itu memelihara binatang mereka.

Mereka menjaga kucing besar tersebut di ladang mereka jarak satu jam di luar Kaherah, dan el-Helw mengatakan bahawa dia membawanya ke kota untuk membuat filem.

Adik-beradik penjinak singa, Bushra el-Helw (kanan) Ashraf el-Helw (dua kanan) dan Youssef el-Helw ketika bergambar dengan singa betina Afrika berusia lima tahun bernama Joumana, setelah membuat persembahan di Kaherah. – AP
Ashraf el-Helw ketika membuat pertunjukan di dalam apartmen mereka, di Kaherah, Mesir dan menyiarkan video persembahan itu di media sosial. – AP

Setelah penggambaran selesai, mereka kembali ke ladang, bersama sekitar 40 haiwan lain yang tinggal di sana, termasuk monyet dan singa-singa besar lainnya.

Semasa lawatan, The Associated Press sempat berkunjung ke apartmennya baru-baru ini, el-Helw telah menunjukkan Joumana iaitu, salah seekor singa betina milik mereka.

Dia mendorong singa itu untuk meletakkan tangannya di bahunya dan kedua-dua mereka bergerak seperti sedang menari. Dalam aksi lain, singa betina itu sentiasa mematuhi perintah tuannya dengan mengikut tongkat untuk berjalan melintasi papan serta menginjak adik elra Helw Bushra, yang juga merupakan seorang pelatih singa.

Kemuncak pertunjukan itu muncul ketika el-Helw meletakkan sepotong daging yang tergantung dari tongkat ke mulutnya, di mana Joumana melompat untuk mengambilnya.

“Sejak saya membuka mata kepada dunia, saya menemui singa di sekitar saya,” kata Ashraf yang berusia 26 tahun. Dia mengatakan bahawa dia mula bekerja dengan haiwan bersama adik beradiknya ketika dia berusia enam tahun.

Pada usia 16 tahun, dia telah mula membuat persembahan. El-Helws telah membuat pertunjukan sarkas dengan singa tersebut selama lebih daripada satu abad. Nenek Ashraf adalah pelakon sarkas terkenal, Mahassen el-Helw, pelatih singa wanita pertama di dunia Arab.

Dia dikenali sebagai ‘the iron woman’ kerana sikapnya yang tegas. Namun di sebalik keistimewaan itu, nenek lelaki Ashraf, Mohammed el-Helw, terbunuh pada tahun 1972 dalam salah satu pertunjukannya, di mana seekor singa telah mencakarnya di khalayak orang awam dan ia sangat mengerikan.

Terdapat juga kejadian yang dilaporkan bahawa beberapa anggota keluarga lain diserang semasa pertunjukan dalam beberapa tahun sebelum ini.

Kakak perempuan Ashraf, Luba, 38 tahun, Ousa, 35 tahun dan Bushra, 28 juga pelatih singa profesional di National Circus Mesir.

Ditubuhkan pada tahun 1966, sarkas itu ditempatkan di khemah di sebelah Sungai Nil, yang menarik kebanyakan kumpulan sekolah dan keluarga datang untuk menyaksikan pertunjukan pada waktu malam.

Ada yang mengkritik el-Helws kerana memperlakukan haiwan tersebut sebegitu. Dina Zulfikar, seorang aktivis hak haiwan di negara itu, mengatakan bahawa membawa haiwan liar ke rumah persendirian adalah melanggar undang-undang. Juga terdapat satu video di media sosial ketika Ashraf el-Helw memberikan gambaran bahaya yang ditimbulkan oleh singa itu, katanya.

“Ini adalah tingkah laku yang tidak bertanggungjawab dan tidak baik,” katanya. “Mereka bukan binatang peliharaan, mereka binatang liar.” Tetapi bagi keluarga el-Helw, singa adalah mata pencarian dan juga keluarga mereka.

“Mereka seperti anak-anak saya,” kata Bushra sambil memberi Joumana belaian tepukan yang penuh kasih sayang di belakangnya. – AP