LIMA, 1 Jun – Peru meraikan kemenangan rayuan mereka, di mana kapten Paolo Guerrero dapat beraksi di Piala Dunia meskipun menjalani penggantungan kerana doping.
Keputusan yang dibuat oleh mahkamah tinggi Switzerland telah mencetuskan kegembiraan di ibu negara Peru, Lima, serta ucapan syukur daripada penyerang berusia 34 tahun itu.
“Ia adalah satu kejayaan bagi Peru kerana kami menyatukan usaha kami,” kata Presiden Peru, Martin Vizcarra, sebelum menelefon Guerrero untuk mengucapkan tahniah kepadanya.
“Keputusan itu memberikan keadilan, meskipun tidak sepenuhnya dan saya berterima kasih kepada mahkamah Switzerland,” kata Guerrero pada laman Facebooknya.
Guerrero berkata bahawa dia akan menyertai skuad Peru dan “bersama dengan rakan sepasukan, saya bersedia memberikan segala-galanya untuk memberikan kegembiraan kepada negara saya.

“Tidak ada had, tiada ada lagi impian mustahil kerana apabila Peru bersatu, semuanya boleh.”
Tribunal persekutuan Switzerland, mengumumkan bahawa ia telah membenarkan Guerrero untuk bermain, menterbalikkan satu perintah oleh Mahkamah Timbang untuk Sukan (CAS) yang menjatuhkannya dengan penggantungan 14 bulan.
Tribunal itu kemudian ‘menggantungkan’ pengharaman CAS dan berkata, “Guerrero kini boleh beraksi di Piala Dunia Rusia.” – AFP