MONTEVIDEO, 30 MAC – Peru menempah tempat ke playoff Piala Dunia menentang sama ada Australia atau Emiriah Arab Bersatu selepas kemenangan 2-0 ke atas Paraguay kelmarin, sekali gus melenyapkan harapan Colombia dan Chile untuk mara ke Qatar.
Dengan Brazil, Argentina, Ecuador dan Uruguay sudah melayakkan diri, perlawanan yang menjadi rebutan ialah kedudukan kelima kelayakan Amerika Selatan dan playoff antara benua.
Colombia, yang menang 1-0 di gelanggang lawan menentang Venezuela, dan Chile, ditewaskan 2-0 di laman sendiri kepada Uruguay, mampu layak sekiranya Peru melakukan kesilapan.
Tetapi buat kali kedua kempen kelayakan Piala Dunia berturut-turut, Peru berjaya menuju ke playoff.
Pemain kelahiran Itali, Gianluca Lapadula membuka jaringan seawal minit kelima di Lima dan meskipun percubaan Sebastian Ferreira dalam penampilan sulungnya sekadar terkena tiang buat pasukan Paraguay, Peru sebahagian besar mengawal perlawanan.

Yoshimar Yotun menggandakan kelebihan pada minit ke-42, penyudah akrobatik selepas menerima hantaran lintang dari Edison Flores.
Peru mampu mencatat kemenangan yang lebih selesa setelah Lapadula dua kali dinafikan oleh gawang.
Colombia terlepas beraksi di playoff dengan ketinggalan satu mata.
Semasa menempuhi kempen kelayakan, mereka berada di kedudukan yang kukuh untuk layak tetapi deretan tujuh perlawanan tanpa gol sebelum memenangi dua perlawanan terakhir telah menghancurkan harapan mereka.
James Rodriguez menjaringkan gol tunggal pada minit akhir separuh masa pertama melalui sepakan penalti selepas Ronald Hernandez dipersalahkan kerana mengasari Rafael Borre.
Chile bergelut sepanjang kempen dan terlepas aksi ke Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut.
Mereka memerlukan Peru dan Colombia untuk tewas sementara perlu mencatat kemenangan untuk mara. – AFP