Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Kajian mendapati kedudukan rumah penduduk di Kampong Ayer iaitu golongan yang berpendapatan rendah, adalah amat terdedah kepada kejadian angin kencang dan kenaikan paras air yang boleh menyebabkan banjir.
Oleh itu, keadaan cuaca yang tidak menentu boleh menjejaskan kehidupan seharian mereka selain memerlukan mereka sentiasa melakukan pembaikan ke atas rumah mereka yang terjejas akibat kejadian musibah seperti angin kencang.
Hasil kajian tersebut dikongsi oleh pembentang dari Faculty of Arts and Social Science, Universiti Brunei Darussalam, Profesor Madya Dayangku Dr Noor Hasharina binti Pengiran Haji Hassan dalam pembentangan bertajuk, Vulnerability of People in Kampong Ayer in a Time of Climate Change semasa Sesi Tematik ke-7 yang menumpukan kepada Kajian dan Inovasi terhadap Adaptasi dan Kedayatahanan, hari ini.
Hadir semasa pembentangan berkenaan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Profesor Madya Dayangku Dr Noor Hasharina menerangkan kumpulan penganalisis juga mendapati golongan itu membina perumahan mereka berdasarkan tindak balas terhadap perubahan alam sekitar namun rasa kekitaan serta keupayaan penyesuaian mereka di Kampong Ayer telah membawa evolusi dan kelangsungan hidup di Kampong Ayer selama lebih setengah milenium.
Sesi Tematik ke-7 pada hari ketiga Minggu Tindakan Iklim, Pameran dan Persidangan Pertengahan Tahun Brunei 2022 (Brunei MYCE 2022) yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, turut menyaksikan pembentangan kertas kedua bertajuk, Towards Achieving Environment-Smart Agriculture oleh Dekan Universiti Islam Sultan Sharif Ali Brunei Darussalam (UNISSA), Profesor Madya Dr Hajah Rose binti Abdullah.
Dalam pembentangannya, beliau menyatakan pentingnya penggunaan bahan secara optimum seperti pertanian tanpa menggunakan tanah, pertanian regenerative, pertanian bersepadu, pertanian pintar, pertanian dalam bulatan dan pertanian organik.
Profesor Madya Dr Hajah Rose menekankan bahawa semua itu memerlukan dasar pertanian berhemah dan penyelidikan dan inovasi antara disiplin bagi memajukan sistem yang lebih luas untuk memahami risiko perubahan iklim serta kaedah bagi mengendalikannya.