Perubahan iklim dijangka tingkat suhu panas negara

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Negara Brunei Darussalam pada masa ini, terdedah kepada empat risiko bencana iaitu banjir, kebakaran hutan, angin kencang dan tanah susur.

Pada masa yang sama, perubahan corak iklim boleh memburukkan lagi bencana berkaitan cuaca yang akan membawa kepada bencana alam yang lebih kuat dan kerap. Kajian menunjukkan bahawa disebabkan pemanasan global, dalam 30 tahun akan datang, Brunei berkemungkinan mengalami peningkatan suhu panas pada kadar 0.4 darjah Celsius sedekad dengan unjuran turunan hujan menunjukkan kadar peningkatan sebanyak 5.00 milimeter setahun.

Di samping itu, kita juga tidak boleh menutup mata kepada kenaikan paras laut di mana menjelang 2100, paras laut global boleh mencapai sehingga 1.2 meter, tegas Pemangku Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, Awang Shahrin bin Haji Mohd Jawie ketika berucap pada Perasmian Bengkel Dokumen Operasi Kumpulan Kerja, Strategi 8: Daya Tahan Perubahan Iklim dan Adaptasi yang berlangsung di Pusat Latihan Serbaguna Dewan Auditorium, CAE-Brunei, hari ini.

Awang Shahrin mengongsi bahawa walaupun telah terdapat beberapa inisiatif pengurangan risiko bencana kebangsaan yang melibatkan pelbagai pihak pada masa ini, Negara Brunei Darussalam harus bersedia menghadapi peningkatan risiko berikutan daripada perubahan iklim itu dan mengambil inisiatif tambahan untuk mengurangkan risiko dalam memastikan sebuah komuniti yang selamat dan berdaya tahan.

Beliau berkata bahawa bengkel itu diharap akan dapat menjadi peluang terbaik dalam berkongsi idea antara para peserta untuk mengembangkan rancangan tindakan dan peta jalan yang mantap untuk Strategi 8 iaitu Daya Tahan Perubahan Iklim dan Adaptasi.
Bengkel dua hari bermula hari ini itu disertai oleh kira-kira 70 orang peserta terdiri daripada pihak berkepentingan termasuk agensi-agensi kerajaan, pihak swasta, institusi-institusi penyelidikan dan badan-badan organisasi bukan kerajaan untuk sama-sama merumuskan dokumen operasi dalam memastikan kedayatahanan iklim dan adaptasi dapat dicapai dengan jayanya.

Dianjurkan bersama oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan sebagai agensi peneraju dan Urus setia Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam serta fasilitator luar seperti Kementerian Pembangunan, PUJA dan Jabatan Kerja Raya, bengkel bertujuan untuk memperkuatkan lagi daya tahan Negara Brunei Darussalam terhadap risiko perubahan iklim dan meningkatkan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim.

Objektif strategik bengkel berkenaan adalah termasuk meningkatkan kapasiti untuk menyesuaikan diri dengan bencana yang berkaitan dengan iklim dan melindungi kehidupan, harta dan sumber-sumber Negara Brunei Darussalam, mengintegrasikan sains iklim dan memantau strategi dan dasar yang ada pada masa ini dan yang akan datang, meningkatkan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, institusi tempatan dan masyarakat dalam mencapai daya tahan iklim dan adaptasi, meningkatkan penyelidikan sains iklim untuk ketahanan iklim dan keberkesanan adaptasi dengan penyelesaian berasaskan alam semula jadi di Negara Brunei Darussalam untuk membuat keputusan yang tepat bagi memberi manfaat kepada generasi semasa dan akan datang serta menjamin pengeluaran dan stok makanan tempatan dengan menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim.

Awang Shahrin semasa berucap pada perasmian bengkel tersebut.
Antara peserta yang menghadiri bengkel selama dua hari itu.