Perubahan iklim dorong migrasi 216 juta orang

WASHINGTON, 14 SEPT – Bank Dunia mengeluarkan amaran pengurangan hasil pertanian, kekurangan air, kenaikan paras laut dan beberapa kesan akibat perubahan iklim boleh menyebabkan sehingga 216 juta penduduk dunia meninggalkan kediaman dan berhijrah dalam negara menjelang 2050.

Unjuran yang dikeluarkan semalam mengemas kini laporan 2018 dengan angka baharu dari Eropah Timur dan Asia Tengah, Afrika Utara dan Asia Timur serta Pasifik untuk memberikan gambaran lebih lengkap mengenai potensi akibat peningkatan suhu global.

“Perubahan iklim adalah pendorong migrasi yang semakin kuat,” menurut laporan itu.

Kekurangan makanan dan air seiring dengan kenaikan paras laut memerlukan tindakan segera berikutan sumber pencarian dan kesejahteraan manusia berada di bawah tekanan yang semakin meningkat.

Naib Presiden Bank Dunia bagi pembangunan lestari, Juergen Voegele berkata data itu memberikan anggaran global mengenai skala potensi migrasi.

Penyelidik bank pada 2018 mengeluarkan laporan mengenai impak perubahan iklim terhadap migrasi di Asia Selatan, Amerika Latin dan Afrika sub-Sahara, dan mengunjurkan 143 juta penduduk di wilayah berkenaan terpaksa berhijrah pada 2050.

“Jika negara mulai sekarang mengurangi kesan gas rumah hijau, menutup jurang pembangunan, memulihkan ekosistem penting dan membantu penduduk menyesuaikan diri, migrasi iklim dalaman dapat dikurangkan hingga 80 peratus iaitu kepada 44 juta orang pada 2050,” kata Voegele.

Berdasarkan data mengikut wilayah, migran dalaman akibat perubahan iklim boleh mencecah 86 juta disub-Sahara Afrika pada 2050, 49 juta di Asia Timur dan Pasifik, 40 juta di Asia Selatan, 19 juta di Afrika Utara, 17 juta di Latin Amerika dan lima juta di Eropah Timur dan Asia Tengah. – AFP

Gambar fail menunjukkan ahli ekologi Louis Hadjioannou menyelam untuk menyelidiki kesan perubahan iklim ke atas fauna di perairan Glyko Nero di Ayia Napa, Cyprus. – AFP