Tuesday, September 26, 2023
25.6 C
Brunei

    -

    Perubahan iklim jejas pengeluaran madu Gaza

    GAZA – Perubahan iklim telah menjejaskan pengeluaran madu dengan ketara di Semenanjung Gaza, yang telah memburukkan lagi keadaan yang dihadapi oleh para penternak lebah tempatan.

    Penternak lebah selalunya mula menuai madu pada pertengahan April di Gaza, apabila musim bunga membenarkan kawanan lebah bergerak di antara bunga dan pokok untuk mendebungakannya dan mengumpul nektar. Manakala sesi penuaian seterusnya berlaku pada bulan November. Walau bagaimanapun, keadaan mula berubah kira-kira 15 tahun yang lalu, terutamanya akibat perubahan iklim dan pemanasan global di enklaf pantai.

    “Setiap hari, kami menjumpai ratusan lebah mati,” kata Issam Jarada, seorang penternak lebah berusia 58 tahun yang berpengalaman lebih 35 tahun dalam industri madu.

    Kebanyakan sarang lebah ditemui di bahagian timur Semenanjung Gaza, berhampiran dengan sempadan Israel, berikutan aktiviti manusia yang kurang di kawasan itu dan tidak padat dengan penduduk serta kawasannya berdekatan dengan tanah pertanian di kedua-dua belah sempadan.

    Kawasan yang dahulunya memiliki kira-kira 500 sarang di mana setiap satunya mengeluarkan 12 hingga 15 kilogram madu, namun kini hanya tinggal sekitar 150 sarang dan setiap sarang hanya mengeluarkan 5 hingga 7kg madu.

    Penternak lebah Palestin bekerja di ladang lebah di bandar Beit Hanoun di utara Semenanjung Gaza. – Xinhua
    Perubahan iklim telah menjejaskan pengeluaran madu dengan ketara di Semenanjung Gaza. – Xinhua

    Issam telah mengalami kerugian kewangan akibat penurunan pengeluaran madu.

    Tambahan pula, pendapatan pengguna Palestin telah terjejas oleh pergolakan politik dan keadaan ekonomi yang sukar mengakibatkan penurunan bilangan pembeli madu.

    “Pada tahun-tahun sebelumya, pelanggan kami pernah menempah madu lebih awal, dan mereka cuba membeli dalam kuantiti yang banyak,” jelas Ibrahim Jarada, anak kepada Issam Jarada kepada Xinhua.

    “Tetapi kini kami hampir tidak dapat menjual produk itu dalam beberapa bulan.

    “Kami terpaksa menjual sekilo madu dengan harga AS$20 dan bukannya AS$35,” katanya sambil menambah “sesuatu yang lebih baik daripada tiada, terutamanya dalam musim yang buruk.”

    Penternak lebah Gaza perlu bergantung pada diri mereka sendiri untuk menangani cabaran. Menurut Jaradas, kerajaan mahupun institusi awam tidak berminat untuk menghulurkan bantuan. Cabaran tersebut, bagaimanapun, tidak menghalang penternak lebah daripada mencuba. Mereka menggesa kerajaan menyediakan kelas latihan bagi membantu mereka menguasai kaedah pengeluaran baharu.

    Taher Abu Hamad, pengarah Jabatan Pengeluaran Haiwan di Kementerian Pertanian yang dikendalikan Hamas di Gaza, telah mengambil perhatian tentang kesusahan pengeluar madu Gaza yang jumlahnya mencecah kira-kira 300 orang.

    “Kementerian telah merekodkan penurunan ketara dalam pengeluaran madu berbanding tahun lalu,” kata Hamad kepada Xinhua.

    “Pengurangan ini disebabkan oleh penyemburan racun perosak di sepanjang sempadan timur, dan kesan akibat perubahan iklim atmosfera, yang memberi kesan negatif kepada pemakanan lebah terhadap sarang, serta penyebaran penyakit parasit Varroa,” tambahnya. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Jepun lulus ubat Alzheimer oleh Eisai & Biogen

    TOKYO, 26 SEPT - Kementerian kesihatan Jepun pada kelmarin meluluskan pengeluaran dan penjualan ubat untuk penyakit Alzheimer yang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal Jepun Eisai...