Perubahan iklim: Pemimpin dunia dikritik

LONDON, 15 OKT – Ratu Elizabeth II mengkritik pemimpin dunia yang hanya tahu ‘bercakap’ tetapi ‘tidak membuat tindakan’ mengenai perubahan iklim, selepas sebilangan mereka tidak akan menghadiri kemuncak Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021 (COP26).

Ratu yang berusia 95 tahun itu memberi teguran tersebut menerusi mikrofon ketika merasmikan pembukaan parlimen Wales di Cardiff kelmarin.

Baginda memberitahu Elin Jones, pengerusi parlimen, “Ia sangat luar biasa. Beta sudah mendengar semua mengenai COP26 tetapi masih tidak tahu siapa akan menghadirinya. Tiada idea.

“Kita hanya tahu mengenai mereka yang tidak datang. Sangat menge-cewakan apabila mereka hanya tahu bercakap, namun tidak mampu mengambil tindakan,” kata baginda.

Semua mata kini tertumpu kepada sidang kemuncak iklim PBB yang diadakan selama dua minggu di Glasgow, bermula pada 31 Oktober dan masih tidak diketahui sama ada Presiden China, Xi Jinping, akan hadir atau tidak.

Ratu Elizabeth II semasa merasmikan pembukaan parlimen Wales di Cardiff kelmarin. – AFP

Ia juga tidak jelas sama ada Perdana Menteri India, Narendra Modi, akan hadir pada persidangan tersebut.

Teguran ratu susulan kenyataan oleh putera dan pewarisnya, Putera Charles dan cucu baginda, Putera William.

Putera Charles memberitahu BBC dalam temu bual bahawa beliau khuatir pemimpin dunia hanya tahu ‘bercakap’, namun tidak melaksanakan tindakan.

William, dalam wawancara berasingan disiarkan semalam pula, meminta lebih banyak perbincangan membina lagi berkesan mengenainya serta me-nempelak program mempromosi pelancongan angkasa. “Kami memerlukan pemikiran dan minda terhebat di dunia untuk memperbaiki bumi ini, bukan berusaha untuk mencari tempat seterusnya untuk hidup,” tambah beliau.

Ratu Elizabeth II, Putera Charles, Putera William dan ahli kerabat yang lain akan menghadiri beberapa acara dalam persidangan tersebut.

Persidangan itu berusaha meyakinkan negara ekonomi membangun menggiatkan pengurangan pelepasan karbon dan membantu negara miskin menyesuaikan diri dengan perubahan iklim. – AFP