ITTOQQORTOORMIIT – Bagi memburu narwhal, mamalia laut yang terkenal dengan gadingnya yang panjang yang sering dianggap sebagai tanduk unicorn dalam mitos zaman medival, awda memerlukan persekitaran yang benar-benar sunyi.
Sehinggakan orang asli di Selat Scoresby, timur Greenland melarang anak-anak mereka daripada melemparkan batu kerikil ke dalam air kerana bimbang hal itu akan menakutkan paus bertanduk spiral itu.
Peter Arqe-Hammeken, 37, yang diajar berburu oleh datuknya, menjejak narwhal sepanjang musim panas yang singkat di Artik.
Namun, populasi narwhal semakin berkurang dan menjadi semakin sukar untuk ditemui.
Di dalam fjord yang penuh dengan gunung ais, keadaan tenang yang biasa dihadapi oleh pemburu-pemburu narwhal telah diganggu oleh kedatangan penumpang kapal persiaran yang bergegas datang untuk melihat budaya Inuit sebelum terlambat.
Pada musim panas ini, kira-kira 60 kapal dari perahu layar hingga kapal persiaran besar, tiba di kampung Ittoqqortoormiit di muara sistem fjord terbesar di dunia, ketika kawasan itu bebas daripada ais.
Sesetengah individu melihat pelancongan di kawasan Artik sebagai cara untuk memberi nafas baharu kepada komuniti yang terpencil ini yang terletak kira-kira 500 kilometer dari penempatan terdekat, manakala yang lain bimbang ia boleh menjejaskan masyarakat pemburu Inuit yang masih hidup.
“Seminggu yang lalu ada pemburu di luar sana, cuba menangkap narwhals. Tetapi ada beberapa kapal yang masuk ke kawasan ini,” kata Arqe-Hammeken kepada AFP, yang berkata kapal persiaran telah menakutkan hidupan laut itu.
“Apabila mereka datang ke kampung, itu tidak apa-apa. Tetapi apabila mereka datang ke kawasan pemburuan, itu tidak baik.”
Persekitaran Artik yang semakin panas dengan kadar kenaikan suhu sehingga empat kali lebih cepat daripada purata global, masyarakat Inuit menghadapi ancaman pada setiap aspek kehidupan mereka.
KAWASAN PEMBURUAN SEMAKIN MENGHILANG
“Pemburu-pemburu hidup dengan memburu di sini. Mereka mempunyai anak-anak,” kata Arqe-Hammeken, yang dilahirkan dan dibesarkan di Ittoqqortoormiit dan bimbang tentang cara hidup tradisional mereka, di mana daging narwhal merupakan bahagian yang penting.
“Narwhal sangat penting untuk masyarakat dan untuk budaya makanan Greenland,” kata seorang guru, Jorgen Juulut Danielsen yang juga bekas datuk bandar kampung itu, sambil menyatakan ‘mattak’ – kulit dan lemak narwhal mentah – merupakan hidangan tradisional.
Masyarakat Inuit memburu ikan paus bergigi dengan menggunakan lembing dan senapang di bawah kuota yang ketat, dengan eksport gading-gadingnya yang sebelum ini menguntungkan, telah dilarang sejak 2004.
Tetapi perubahan iklim telah menjejaskan habitat narwhal dan saintis memberi amaran bahawa jika pemburuan tidak dilarang, maka narwhal mungkin akan lenyap selama-lamanya dari timur Greenland.
Bilangan narwhal telah merosot dengan begitu ketara sehingga pemburu-pemburu tidak dapat memenuhi kuota pemburuan yang telah ditetapkan pada 2021.
Ais yang semakin menipis yang disebabkan oleh pemanasan iklim juga telah membuat aktiviti memburu narwhal yang merupakan sumber makanan penting bagi komuniti tempatan menjadi semakin sukar.
“Kini tiada ais sedangkan sebelum ini ada ais sepanjang tahun,” kata Arqe-Hammeken, memandang ke laut dari Ittoqqortoormiit.
Datuknya dulu sering menceritakan kisah menangkap anjing laut hanya di luar kampung.
Kini, pemburu-pemburu perlu melakukan perjalanan jauh ke dalam fjord untuk menemui binatang itu.
“Tiga puluh tahun yang lalu terdapat banyak pemburu. Hari ini hanya ada 10 atau 12,” kata Arqe-Hammeken.
PENCEMARAN DARI JAUH
Tiada apa yang tumbuh di tundra yang tandus ini dan dengan kapal-kapal kargo hanya dapat melalui fjord berais sekali setahun ini, ‘adalah penting bagi kami untuk mendapatkan nutrien-nutrien kami daripada haiwan-haiwan yang kami buru di sini secara domestik’, kata Mette Pike Barselajsen, yang mengendalikan agensi pelancongan tempatan, Nanu Travel.
“Apa yang kami buru sangat penting bagi budaya kami,” tambahnya, dengan pakaian tradisional seperti seluar beruang kutub dan but kasut kulit anjing laut masih digunakan untuk berburu dan upacara keagamaan.
Tetapi pada bulan Julai, satu kajian dalam Lancet Planetary Health mendapati bahawa penduduk kampung itu mempunyai kandungan PFAS penyebab kanser tertinggi di dunia dalam darah mereka hasil daripada memakan anjing laut, narwhal dan beruang kutub, walaupun mereka tinggal jauh dari punca pencemaran tersebut.
‘Bahan kimia abadi’ yang terdapat di dalam kasut sukan, pakaian kalis air, permaidani, alat pemadam kebakaran dan racun serangga dibawa ke utara oleh arus laut sebelum akhirnya mencemari rantaian makanan masyarakat Inuit.
Dengan begitu banyak cabaran yang mereka hadapi, sesetengah pemburu beralih kepada menangkap ikan halibut bagi menambah pendapatan mereka, kata Danielsen. Yang lain pula mula menjalankan aktiviti pelancongan.
PELUANG TERAKHIR
Ittoqqortoormiit adalah tempat yang sangat indah, dengan rumah-rumah yang berwarna-warni dan terletak di atas semenanjung berbatu yang menghadap ke muara Selat Scoresby yang dikelilingi oleh glasier.
Laluan yang dahulunya sunyi kini dipenuhi dengan kumpulan pelancong kapal persiaran yang mengambil gambar kulit beruang kutub yang tergantung di rumah-rumah.
“Orang tertanya-tanya bagaimana masyarakat hidup di sini,” kata Christiane Fricke, seorang pelancong dari Jerman yang seperti ramai yang lain, datang untuk mengalami budaya tradisional sebelum ia lenyap.
Banyak pemburu telah menjadi pemandu pelancong atau membawa mereka untuk menaiki kereta luncur anjing.
“Ia adalah bantuan yang besar bagi para pemburu untuk memperoleh pendapatan daripada pelancongan juga,” kata Barselajsen.
Tetapi yang lain bimbang bahawa kehadiran kapal persiaran mungkin membuatkan aktiviti pemburuan menjadi tidak praktikal.
Danielsen mengakui bahawa terdapat konflik antara mereka yang ingin mengambil peluang daripada industri pelancongan dan mereka yang bimbang ia boleh merosakkan budaya peribumi, terutamanya dalam aktiviti pemburuan narwhal.
Industri pelancongan membawa ancaman kepada cara hidup tradisional berburu dan menangkap ikan di Ittoqqortoormiit. – AFP