Perubahan iklim tambah isi padu tasik glasier

PARIS, 1 SEPT – Kajian berdasarkan data satelit mendapati isi padu air tasik yang terbentuk susulan pencairan glasier di seluruh dunia akibat perubahan iklim, melonjak sebanyak 50 peratus dalam tempoh 30 tahun.

Pakar Geomorfologi di University of Calgary, Prof Madya Dan Shugar yang juga seorang penulis utama, berkata bukan semua air daripada pencairan glasier itu akan mengalir ke laut dengan serta-merta.

“Namun hingga kini, tiada data untuk menganggarkan berapa banyak ia tersimpan di dalam tasik atau air bawah tanah,” katanya dalam satu kenyataan. Beliau menjelaskan, penemuan itu yang diterbitkan dalam ‘Nature Climate Change’ semalam, bakal membantu saintis dan kerajaan di seluruh dunia untuk mengenal pasti potensi bahaya kepada masyarakat di kawasan hilir tasik yang lazimnya tidak stabil itu.

Ia juga akan meningkatkan ketepatan anggaran kenaikan paras laut menerusi pemahaman lebih baik mengenai bagaimana dan berapa pantas air daripada pencairan glasier mengalir ke laut. – AFP