Perubahan iklim ubah Tasik Sawa jadi tanah tandus

TASIK SAWA – Papan tanda ‘Dilarang Memancing’ di pinggir padang pasir barat Iraq memberikan salah satu petunjuk bahawa kawasan ini adalah Tasik Sawa sebelum ini, sebuah kawasan yang terdiri daripada tanah lembap dan rekreasi.

Aktiviti manusia dan perubahan iklim telah mengubah tapak berkenaan kepada tanah tandus dengan timbunan garam. Hotel-hotel terbiar dan pusat pelancongan di sini mengingatkan kembali kepada tahun 1990 apabila tasik garam, dikelilingi tebing berpasir, berada dalam era kegemilangannya dan popular dengan pasangan pengantin baharu dan keluarga yang datang untuk berenang dan berkelah.

Namun hari ini, tasik berhampiran bandar Samawa, selatan ibu negara Baghdad, sudah kering-kontang.

Botol-botol berselerak di tebing sungai dan beg plastik bergantungan dari belukar sementara dua pontun terapung telah pun menjadi debu.

“Tahun ini, buat pertama kalinya, tasik itu telah lenyap,” kata aktivis alam sekitar Husam Subhi. “Dalam tahun-tahun sebelumnya, kawasan perairan telah menyusut semasa musim kering.”

Pemandangan udara menunjukkan sebuah kolam yang tinggal di Tasik Sawa di selatan wilayah al-Muthanna, Iraq. – AFP
Gambar menunjukkan Tasik Sawa yang kering di selatan wilayah al-Muthanna di Iraq. – AFP
Latif Dibes bekerja di kebunnya di rumah yang diubah kepada taman awam di selatan bandar Iraq Samawa. – AFP
Kuda-kuda berlari di Tasik Milh, juga dikenali sebagai Tasik Razzaza, yang berdepan ancaman kemarau di wilayah Karbala, Iraq. – AFP
Hotel-hotel dan fasiliti pelancong yang terbiar di Tasik Sawa yang kering-kontang disebabkan perubahan iklim. – AFP

Hari ini, di kawasan berpasir yang bertaburan dengan garam, hanya sebuah kolam yang tinggal di mana ikan kecil berenang, dalam sumber yang menghubungkan tasik kepada aras air bumi bawah tanah.

Tasik seluas lima kilometer persegi itu telah kering sejak 2014, menurut Youssef Jabbar, ketua jabatan alam sekitar wilayah Muthana.

Puncanya telah dikaitkan dengan ‘perubahan iklim dan suhu meningkat,’ jelasnya.

“Muthana ialah sebuah wilayah padang pasir, ia mengalami musim kemarau dan kekurangan hujan.”

Satu kenyataan kerajaan yang dikeluarkan minggu lalu juga mengatakan lebih daripada 1,000 telaga telah digali secara haram untuk kerja-kerja bercucuk tanam di kawasan itu.

Selain itu, kilang simen dan garam berhampiran telah ‘mengeringkan sejumlah besar air dari bawah tanah yang membekalkan air ke tasik berkenaan,’ kata Jabbar.

Ia memerlukan satu keajaiban untuk menghidupkan semula Tasik Sawa.

Penggunaan batu poros perlu dikawal dan, berikutan kemarau selama tiga tahun, kawasan itu kini memerlukan beberapa musim turunan hujan yang banyak, di sebuah negara yang dilanda iklim gurun dan dianggap sebagai salah satu daripada lima kawasan yang paling mudah terdedah kepada perubaan iklim. Konvensyen mengenai Tanah Lembap Ramsar, satu perjanjian global, mengiktiraf Sawa sebagai ‘unik disebabkan ia merupakan kumpulan air tertutup di kawasan sabkha (lembangan garam) tanpa saluran masuk atau keluar.

“Tasik itu terbentuk di atas batu kapur dan terpisah oleh sekatan gipsum yang mengelilingi tasik, dan keserasian airnya adalah unik,” menurut laman web konvensyen.

Satu tempat persinggahan untuk burung penghijrah, tasik itu pernah menjadi ‘tempat tinggal kepada beberapa spesies dunia yang mudah terancam’ seperti helang, houbara bustard dan itik. Sawa bukan satu-satunya kumpulan air di Iraq yang berdepan ancaman kemarau.

Media sosial Iraq sering dibanjiri gambar tanah merekah yang hodoh, seperti paya Howeiza di selatan yang tersenarai dalam UNESCO, atau Tasik Razzaza di tengah wilayah Karbala.

Di Sawa, kemerosotan mendadak dalam turunan hujan – kini hanya 30 peratus daripada apa yang dianggap normal untuk rantau – telah menurunkan aras air bumi bawah tanah, yang sudah kekeringan oleh telaga, kata Aoun Dhiab, penasihat kanan di kementerian sumber air Iraq. Dan suhu naik telah menambah penyejatan.

Dhiab berkata pihak berkuasa telah melarang kegiatan menggali telaga baharu dan berusaha menutup perigi yang digali secara haram di seluruh negara.

Latif Dibes, yang membahagikan masanya di antara kampung halaman Samawa dan negara Sweden, telah berusaha sejak sedekad lalu untuk menambah kesedaran alam sekitar.

Bekas pengajar sekolah memandu itu membersihkan tebing Sungai Euphrate dan telah mengubah kebun di rumahnya kepada taman awam.

Dia masih terkenangkan perjalanan ke sekolah dan percutian semasa zaman kanak-kanak, apabila keluarganya akan berenang di Sawa.

“Jika pihak berkuasa mengambil berat, tasik tidak akan lenyap pada kadar ini. Sukar dipercayai,” katanya.

“Saya berusia 60 tahun dan saya membesar bersama tasik. Saya sangka saya akan meninggal sebelumnya, namun malangnya ia telah mati sebelum saya.” – AFP