KUALA LUMPUR, 8 Okt – Perubahan pengurusan penting yang diumumkan seminggu lalu oleh Proton sudah pastinya menjadi satu titik perubahan dalam usaha sejak sekian lama pengeluar kereta nasional itu untuk muncul sebagai jenama antarabangsa yang berjaya.
Dr Li Chunrong, yang mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) cabang pembuatan Proton Holdings Bhd memiliki kelayakan dalam automotif global yang menjadikan beliau individu terbaik bagi memulihkan semula Proton dan menembusi pasaran ASEAN secara besar-besaran.
Beliau yang memiliki pengalaman lebih 30 tahun dalam sektor automotif dan telah berkhidmat dengan banyak pengeluar kereta utama seperti Honda Motor Co., Kia Motors Corp. dan China Dongfeng Motor Group, berkeupayaan untuk merangsang operasi di Proton.
Perubahan dalam Proton itu adalah positif antara lainnya dari segi melindungi pekerjaan bagi warga tempatan, memudahkan pindahan teknologi, memperkenalkan model baharu, menyuntik tunai serta menambah baik sentimen dalam rantaian bekalan tempatan.
Li yang bertanggungjawab bagi keseluruhan operasi Proton, merangka pelan 10 tahun bagi memulihkan semula pengeluar kereta nasional itu dan berjanji untuk menjadikan Proton antara jenama kenderaan utama di Asia Tenggara.
Berkemungkinan 29 Sept akan terpahat sebagai tarikh keramat bagi Proton dalam membuka lembaran baharu dan mula berfikir sebagai perbadanan automotif bertaraf antarabangsa.
Walaupun DRB-Hicom Bhd, yang memiliki 50.1 peratus pegangan dalam Proton, dan Zhejiang Geely Holdings Group (49.9 peratus), tidak mengumumkan model kereta baharu, namun apa yang lebih penting adalah pilihan Ketua Pegawai Eksekutif dan barisan pengurusan baharu.
Dalam sekelip mata, Proton bertukar peranan daripada pengeluar kereta tempatan kendiri dengan hanya satu pasaran utama – Malaysia – menjadi sebahagian daripada kumpulan auto antarabangsa yang memiliki jenama terkemuka – Geely di China, The London Taxi Company di Great Britain dan Volvo di Sweden. Transformasi ini telah memberi peluang kepada Proton memainkan peranan yang sekian lama ditunggu-tunggu untuk menjadi pemain automotif antarabangsa. – Bernama