Perubahan khidmat kaunter pos, pos laju

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Jabatan Perkhidmatan Pos (JPP), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, memaklumkan kepada orang ramai mengenai beberapa perubahan terhadap perkhidmatan kaunter-kaunter dan penyerahan dan penghantaran paket-paket kecil dan bungkusan bermula 13 April hingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Kenyataan itu menyatakan bahawa selaras dengan siaran akhbar Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), bertarikh 9 April 2020, JPP akan menangguhkan semua perkhidmatan pembaharuan lesen memandu dan lesen kenderaan bermula 13 April di mana ia boleh dibuat melalui pilihan iaitu melalui perkhidmatan Talian Darussalam 123 iaitu dengan menghubungi 123 atau melalui e-mel ke [email protected], secara dalam talian, online melalui aplikasi mudah alih TransportBN dan melalui laman sesawang rasmi kerajaan www.gov.bn.

Manakala, pengambilan dan pembayaran permohonan-permohonan yang telah siap akan dilaksanakan melalui kaedah pandu lalu di cawangan-cawangan JPD. Di samping itu, pembayaran bil-bil ASTRO, DST, air dan elektrik juga akan dihentikan buat sementara. Walau bagaimanapun, kenyataan itu menyatakan bahawa perkhidmatan pos seperti kaunter penyerahan bungkusan, surat berdaftar, pembelian setem dan perkhidmatan Premium akan masih dibuka seperti biasa.

Manakala paket-paket kecil dan bungkusan akan dihantar ke rumah kecuali yang memerlukan pengesahan atau kebenaran dari agensi-agensi yang berkenaan.

Bagi kemudahan pelanggan-pelanggan pos laju, JPP akan menyediakan perkhidmatan pengambilan dari rumah pelanggan (pick-up service) bagi Daerah Brunei dan Muara ke daerah-daerah lain sebagai permulaan.

Bagi mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi, Pusat Perkhidmatan Pelanggan (CSC) di talian 238 0481 atau 8711002 (WhatsApp) atau e-mel [email protected]