Perubahan operasi perkhidmatan MTIC dan jabatan di bawahnya

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) memaklumkan bahawa bermula hari ini, penumpang-penumpang yang akan meninggalkan Negara Brunei Darussalam melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) dinasihatkan untuk menggunakan prosedur dropoff atau hanya dihantar oleh tidak melebihi dua orang sahaja.

Orang ramai tidak dibenarkan untuk menjemput ketibaan penumpang-penumpang, menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini di mana kementerian berkenaan turut memaklumkan bahawa restoran dan premis-premis makanan di LTAB akan hanya menyediakan makanan secara take-away atau delivery sahaja, dine-in adalah tidak dibenarkan sementara itu, Surau LTAB ditutup sementara.

Di bawah Jabatan Perkhidmatan Pos, kenyataan menyatakan bahawa waktu operasi perkhidmatan kaunter urus niaga dan bungkusan pejabat pos di Pusat Memproses Mel (MPC), Premium, Muara, Sengkurong, Seri Kompleks, Tutong, Lumut, Seria dan Belait serta Bandar Seri Begawan, LTAB, Bangar, Bunut, Salambigar, Anggerek Desa, Limau Manis, Lumapas, Lamunin, Telisai, Rimba dibuka seperti biasa pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu manakala itu, Jumaat ditutup.

Sementara itu, perkhidmatan kaunter di Pejabat Pos cawangan Labi pula hanya akan beroperasi pada Selasa sahaja dari 8 pagi hingga 10 pagi.

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa kapasiti pelanggan harian (walk-in) untuk cawangan yang menyediakan perkhidmatan DL/VL90 adalah 60 orang bagi MPC dan 30 orang bagi cawangan Sengkurong, Seri Kompleks, Muara, Tutong, Lumut, Seria dan Belait.

Jabatan Kaji Cuaca (BDMD) pula hanya akan memproses pembelian data melalui perjanjian sahaja di mana pengambilan data yang dipohonkan dan pembayaran data yang dibeli dilakukan pada masa perjanjian yang telah dibuat terlebih dahulu. Sila hubungi 2381342 untuk membuat perjanjian.

Di bawah Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan (PBMP), kaunter perkhidmatan akan dibuka seperti lazim dengan SOP yang telah ditetapkan sementara itu, peperiksaan Kelas 9 (Terhad) akan ditunda sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Semua pemilik, pengusaha dan pemandu bot laju dan perahu tambang di negara ini pula diarahkan supaya mengehadkan jumlah penumpang kepada 50 peratus daripada jumlah yang dibenarkan dan sentiasa memakai penutup mulut dan hidung ketika beroperasi, ini juga termasuk kepada penumpang.

Bagi Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), semua perkhidmatan boleh diakses melalui AITI Online Services Portal di laman sesawang http://online.aiti.gov.bn.

Manakala itu, pemilik-pemilik siber kafe pula diarahkan supaya menutup sementara premis perniagaan selama dua minggu mulai 7 Ogos.

Kerjasama majikan-majikan dan pengurus-pengurus kafe siber adalah diharapkan dalam sama-sama membendung penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.