KUALA LUMPUR – Modul Pendidikan Sains Berasaskan Inkuir (IBSE) adalah antara pendekatan yang diambil untuk membantu meningkatkan minat pelajar terhadap subjek-subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negara ini.
Modul IBSE yang dibangunkan oleh Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi Antarabangsa (ISTIC) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi adalah satu langkah yang tepat dan ia membayangkan peralihan paradigma dalam pengajaran dan pembelajaran sains.
Professor Yang Farina Abdul Aziz dari Akademi Sains Malaysia (ASM) menegaskan bahawa modul itu menyokong pertukaran peranan guru daripada seorang pengajar kepada fasilitator dalam usaha meningkatkan minat, kreativiti dan cara berfikir para pelajar dengan melibatkan mereka dalam proses penyiasatan dan penemuan melalui eksperimen.
“Pendekatan ini menekankan penglibatan kalangan pelajar aktif dalam proses pembelajaran dengan mencungkil sifat kanak-kanak yang sentiasa ingin tahu, menggalakkan mereka mengenal pasti permasalahan, mencari setiap kemungkinan bagi penjelasan atau penyelesaian, membina hipotesis yang perlu diuji, mereka penyelesaian, menjalankan siasatan, mengesahkan hipotesis yang dibuat, dan menstruktur pengetahuan untuk menjawab soalan-soalan dan membandingkannya dengan fakta yang terbukti,” jelas Yang Farina.
Kaedah ‘Hands-on’
Kaedah ini adalah berdasarkan pendekatan ‘La main a la pate’ atau ‘Hands On’ yang diasaskan oleh French Science Academy pada 1996. “Pada asasnya, ia terdiri daripada eksperimen yang sangat mudah di mana guru boleh melakukannya di dalam bilik darjah, menggunakan bahan-bahan ringkas. Jadi, di sinilah guru boleh melihat kesannya, kerana ‘seeing is believing’.

“Sains bukanlah perkara yang anda tidak dapat lihat, pelajar akan berminat dengan perkara yang boleh dilihat dan apabila berminat, mereka akan banyak bertanya, ini adalah cara kita memupuk minat mereka,” katanya
Dalam usaha menyebarkan pengetahuan, ASM dengan kerjasama ExxonMobil menganjurkan bengkel tiga hari untuk guru dari seluruh negara, yang diadakan serentak dengan Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) 2017 yang berlangsung pada Mei dan Julai.
Usaha itu dilihat sebagai sangat penting dalam mencapai matlamat negara iaitu nisbah 60:40 pelajar aliran sains berbanding pelajar bukan sains kerana Malaysia berhasrat mencapai ekonomi yang didorong STEM menjelang TN50.
Antara lain, ASM menganjurkan bengkel IBSE untuk guru di Tuaran (Sabah), Setiu (Terengganu) dan Jerlun (Kedah).
Projek perintis buktikan hasil positif
Sebelum bengkel dianjurkan, projek perintis mengenai IBSE diadakan selama dua tahun (2013-2014) oleh ASM dengan empat sekolah di Lembah Klang, iaitu Sekolah Kebangsaaan Bandar Seri Putra, Sekolah Kebangsaan Semenyih, Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 Bandar Baru Bangi dan Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Kesuma.
Kesemua sekolah itu menunjukkan hasil positif dengan pencapaian yang lebih baik dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 untuk kertas sains oleh pelajar yang diajar di bawah kaedah IBSE, berbanding pelajar tanpa IBSE semasa tempoh perintis.
Berikutan kejayaan percubaan itu, ASM kemudiannya memutuskan untuk menggabungkan program IBSE ke dalam agenda NSC 2017 sebagai usaha memperkenalkan kaedah berkenaan kepada lebih ramai guru.

NSC terus cambah minat terhadap Sains
Dalam perkembangan berkaitan, Kolej Yayasan Saad muncul juara Cabaran Sains Kebangsaan 2017. Pasukan itu yang terdiri daripada Muhammad Mukhriz Mokhtar dan Aarif Wafeeq Baharozaman mengalahkan tiga peserta akhir lain iaitu dari Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Jaya, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Perempuan Cina Pulau Pinang dan Kolej Tunku Kurshiah.
Pertandingan tahunan itu, yang memasuki edisi ke-28 pada tahun ini, menerima penyertaan kolektif daripada 3,930 pasukan dari seluruh negara. Ia diadakan dalam tiga peringkat iaitu peringkat awal pada Mei, peringkat negeri pada Julai dan peringkat akhir dari 11 hingga 17 Ogos di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Acara berkenaan dilihat sebagai satu daripada pertandingan STEM yang penting di negara ini untuk pelajar aliran sains tingkatan empat. “Ini selaras dengan misi ASM untuk menggalakkan kesedaran kebangsaan, pemahaman dan penghargaan nasional terhadap peranan sains, kejuruteraan dan teknologi dalam kemajuan manusia,” kata Yang Farina, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pemandu NSC.
Beliau berkata NSC diterima dengan baik sejak penubuhannya dan terdapat peningkatan positif dalam bilangan pemohon pada tahun ini. “Ia sentiasa menjadi objektif ASM untuk menjadikan sains, teknologi dan inovasi sebagai asas bagi pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial.
“Adalah menjadi harapan agar para peserta membantu mempromosikan pemahaman sains kepada masyarakat, meluaskan sempadan pengetahuan dan menyediakan laluan ke arah kehidupan yang lebih baik, lebih mampan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara,” tambahnya. – Bernama