Perubahan perkhidmatan di pusat kesihatan Berakas dan Seria

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Berikutan dengan situasi terkini COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Kesihatan memaklumkan beberapa perubahan pada perkhidmatan-perkhidmatan di beberapa pusat kesihatan bermula esok (16 Ogos).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Kementerian Kesihatan menjelaskan bahawa Pusat Kesihatan Berakas hanya akan menerima individu dalam kategori pesakit-pesakit yang mengalami gejala demam batuk selesema dan individu yang telah diarahkan untuk menjalani ujian swab COVID-19 sahaja.

Perubahan berkenaan adalah termasuk perkhidmatan yang diberikan semasa waktu lanjutan (after hours service) yang mana hanya kedua-dua jenis kategori tersebut akan diterima. Walau bagaimanapun, Pusat Kesihatan Berakas akan masih menerima sebarang kes kecemasan.

Sementara itu, waktu operasi Pusat Kesihatan Berakas adalah dari 7:45 pagi hingga 12 tengah hari dan 1:30 petang hingga 4:30 petang pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu, manakala itu, waktu lanjutan bermula 6 petang hingga 9 malam.

Bagi Jumaat, Ahad dan hari kelepasan awam pula, waktu lanjutan bermula dari pukul 2 petang hingga 9 malam.

Sementara itu, Pusat Kesihatan Seria hanya akan menerima individu yang tidak mempunyai sebarang gejala demam batuk selesema atau pesakit yang diberikan Perintah Kuarantin atau Notis Pengasingan Diri.

Di samping itu, ujian COVID-19 kini ditiadakan di Pusat Kesihatan Seria.

Pesakit yang mempunyai gejala demam batuk selesema atau pesakit yang diberikan Perintah Kuarantin atau Notis Pengasingan Diri dinasihatkan untuk hadir ke Flu ILI di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait. Walau bagaimanapun, pusat kesihatan berkenaan akan masih menerima sebarang kes kecemasan.

Waktu operasi Pusat Kesihatan Seria adalah dari 7:45 pagi hingga 12:15 tengah hari dan 1:30 petang hingga 4:30 petang pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu.

Manakala waktu lanjutan adalah pada Jumaat, Ahad dan hari kelepasan awam bermula pukul 2 petang hingga 9 malam.

Bagi pusat-pusat kesihatan lain yang tidak menerima kes flu, orang ramai dinasihatkan untuk menangguhkan dahulu sebarang perjumpaan bagi kes-kes ringan dan untuk hanya hadir jika benar-benar perlu sahaja.

Pihak Kementerian Kesihatan memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang mungkin dihadapi oleh orang ramai di atas perubahan tersebut. Kerjasama dan kefahaman orang ramai dalam perkara ini adalah sangat-sangat diharapkan.

Bagi sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Talian Darussalam 123.