BEIJING, 17 Jan – Presiden China Xi Jinping memberitahu rakan sejawatnya dari AS, Donald Trump bahawa terdapat ‘perubahan positif’ di semenanjung Korea, menurut media negara itu semalam berikutan perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin.
Trump telah mendesak Xi untuk meningkatkan tekanan ekonomi dan politik ke atas Korea Utara dengan harapan untuk memastikannya menghentikan pembangunan program sejata nuklear negara itu.
Ketegangan telah meningkat selepas Korea Utara mengadakan ujian nuklear dan peluru berpandu dan pemimpin Kim Jong-Un dan Trump sering bertukar-tukar ancaman perang dan serangan peribadi.
Namun, sejak beberapa minggu kebelakangan ini, terdapat persefahaman yang jelas, dengan pertemuan kali pertama di antara Korea Utara dan Selatan dalam tempoh masa dua tahun, dan Pyongyang bersetuju untuk menghantar atletnya ke Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang di Korea Selatan.

Semasa perbualan telefon, Xi berkata “situasi di semenanjung Korea telah menunjukkan perubahan positif,” menurut agensi berita rasmi Xinhua.
“Semua pihak yang terlibat harus berusaha bersama untuk mengekalkan momentum yang sukar untuk memudahkan keadaan di semenanjung Korea dan mewujudkan syarat untuk memulakan semula rundingan,” menurutnya dipetik sebagai berkata.
Seruan itu dibuat ketika menteri-menteri luar dari 20 buah negara berhimpun di Vancouver bagi mesyuarat krisis selama dua hari mengenai program peluru berpandu dan senjata nuklear Korea Utara.
Akan tetapi, AS, pada sidang kemuncak itu akan menilai semula bersama rakan sekutunya bagi keberkesanan sekatan semasa terhadap kerajaan itu dan menambah lebih sekatan, tetapi mengekalkan keraguan mereka bahawa Kim bersedia bagi menghentikan program senjatanya. – AFP