Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perubatan jamu masih relevan pada era moden

    Oleh Salawati Haji Yahya

    Dalam kehidupan harian, jika kita menghidap sebarang penyakit kita disyorkan berusaha untuk mencari penawar sama ada perubatan secara moden mahupun tradisional.

    Meskipun zaman kini penuh pelbagai kemodenan dan banyak perubatan moden diperkenalkan, sesetengah orang terutama wanita lepas bersalin akan memilih perubatan tradisional dan menjadikan perubatan tradisional tersebut masih mampu bertahan.

    Perubatan tradisional merupakan satu warisan masyarakat zaman lampau yang diwarisi sejak turun temurun daripada nenek moyang kita dulu terutama dalam pengambilan jamu yang menggabungkan pelbagai ramuan herba daripada tumbuhan-tumbuhan alami digunakan dalam penghasilannya.

    Melihat sambutan yang masih menggalakkan, pengamal jamu berusaha untuk mengekalkan pengambilan jamu terus relevan di kalangan masyarakat dengan memodenkan jamu-jamu yang dihasilkan sesuai mengikut peredaran masa.

    Ke arah itu, penulis berpeluang menemu bual dengan pemilik Markasturi, Hajah Mariam yang sudah lama melibatkan diri dalam pembuatan jamu turun-temurun sejak tahun 1978.

    Antara jamu yang telah dijadikan pil untuk memudahkan dibawa ke mana saja.
    Pemilik Markasturi, Hajah Mariam semasa ditemu bual pihak media.

    Jamu yang dihasilkan dalam bentuk serbuk.

    Cabaran bersaing dalam era moden

    Bersaing dalam era moden masa kini, beberapa peningkatan dan transformasi perlu dibuat yang bukan saja boleh dinikmati semasa waktu berpantang saja tapi kini ia telah diolah dalam bentuk pil untuk memberi keselesaan dan ia boleh dinikmati di mana saja.

    Jika dulu jamu hanya dibuat dalam bentuk serbuk saja tapi kini ia telah di jadikan pil sesuai mengikut peredaran masa tapi ada juga mereka yang masih tetap memilih pengambilan jamu dalam bentuk serbuk.Transformasi olahan jamu yang dijadikan dalam bentuk pil ini adalah untuk memastikan ia tidak ketinggalan arus pemodenan dan kekal wujud dan menjadi pilihan mereka yang mengamalkan pengambilannya.

    Penglibatan dan ilmu di perolehi

    Beliau mula melibatkan diri dalam pembuatan jamu tradisional ini pada tahun 1978 yang mana ilmu yang diperolehi ini melalui didikan daripada ayah beliau yang juga mempunyai latar belakang dalam perubatan tradisional.

    Pada peringkat permulaan, belum ada timbul minat dalam pembuatan jamu ini, tapi setelah melihat usaha yang dibuat oleh ayah beliau dalam perubatan tradisional dan sering ke hutan untuk mencari akar-akar kayu dan daun-daun hutan yang pastinya mempunyai pelbagai khasiat telah mendorongnya untuk mempelajari secara perlahan-lahan.

    Ramuan yang digunakan

    Pada masa kini, bekalan untuk mendapatkan ramuan yang diperlukan amat terhad disebabkan oleh COVID-19 yang melanda dunia pada masa ini.

    Antara ramuan yang digunakan dalam penghasilan jamu tradisional, Markasturi menggunakan bahan alami tanpa bahan pengawet seperti halia, kunyit hidup, jintan putih, jintan manis, ketumbar dan lainnya.

    Penggunaan pada setiap penghasilan jamu tradisional Brunei tanpa bahan pengawet ini adalah untuk mengelakkan penghasilannya dan rasanya dapat bertahan lama dan selamat untuk dimakan dan digunakan.Di samping itu juga, dengan penggunaan bahan-bahan alami ini akan lebih memberi kesan yang lebih baik kepada tubuh badan.

    Sokongan dari keluarga

    Dalam proses pembuatan bekalan jamu ini bagi para pelanggan, beliau menyatakan kerja-kerja mengolah jamu ini dibantu oleh ahli keluarga sendiri. Menurut beliau membuat jamu ini memerlukan kesabaran dan ketelitian bagi memastikan setiap jamu yang dihasilkan itu berkualiti dan tahan lama.

    Untuk memastikan jamu yang telah dihasilkan dan dipasarkan itu masih dalam kualiti yang baik, setiap jamu yang siap akan disimpan satu contoh untuk melihat ketahanannya, kerana jamu yang dihasilkan ini dibuat tanpa bahan pengawet.

    Sambutan orang ramai

    Pengambilan jamu di kalangan masyarakat negara ini masih tetap relevan, terutama sekali bagi wanita yang lepas bersalin akan selalu mengamalkan pengambilan irup-irupan yang diperbuat daripada rempah-ratus dan herba untuk mengembalikan tenang selepas bersalin selain membuat urutan badan.

    Pada masa ini banyak anak-anak muda yang tahu akan khasiat pengambilan jamu yang bukan saja dapat merawat kulit malah pengambilan jamu juga mampu menjaga kesihatan dalaman kerana bahan-bahan yang digunakan daripada bahan alami dan rempah-ratus.

    Pandangan orang ramai.

    Manakala temu bual media dengan Nazihah binti Samad, 45, yang telah mengamalkan pengambilan jamu tradisional sejak di peringkat remaja lagi menjelaskan, percaya atau tidak, jamu tradisional tidak kira berbentuk cecair, serbuk atau yang sudah dikapsulkan mempunyai khasiat tersendiri tapi ia perlu diketahui ramuan yang terkandung di dalamnya.

    “Diri sendiri perlu tahu ramuan jamu yang diambil, jangan sesekali ambil mudah kerana ada juga jamu moden mengandungi bahan tidak dibenarkan”, jelasnya.

    Katanya lagi, “lebih baik menyediakannya sendiri dengan menggunakan akar kayu dan herba, jika tidak tahu boleh bertanya kepada mereka yang lebih berpengalaman kerana ia lebih selamat dan tidak memudaratkan.”

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda