Perubatan tradisional Cina berkembang di Afrika Selatan

JOHANNESBURG – Di kawasan kejiranan yang tenang tidak jauh dari Chinatown di Johannesburg terletak sebuah klinik perubatan tradisional Cina.

Pusat Perubatan Oriental itu kecil tetapi dengan jumlah pesakit yang tidak berkesudahan termasuk selebriti dari negara jiran. Malah pernah merawat pelakon memenangi Oscar.

Dr Sun Qingfu bersama suaminya Dr Xu Youqiang telah mengendalikan klinik ini selama lebih 20 tahun, walaupun pada awalnya mengalami kesukaran. Dr Sun mengatakan mendirikan klinik ketika perubatan tradisional Cina tidak dikenali secara sah di Afrika Selatan sememangnya sangat sukar.

“Itu semasa tahun 1991 ketika kami pertama kali tiba di Afrika Selatan,” katanya, “Kami bahkan tidak dapat bertutur bahasa Inggeris yang paling mudah dan harus berkomunikasi dengan pesakit melalui bahasa isyarat.

“Penduduk tempatan tidak banyak mengetahui mengenai perubatan tradisional Cina. Pernah seorang wanita datang ke sini untuk berbekam. Selepas rawatan itu, dia menemui beberapa kesan gelap di tubuhnya dan mengatakan dia akan menyaman kami atas kesan tahap pertama itu.”

Kelihatan seorang pesakit mendapatkan konsultasi dari Dr Sun Qingfu. – Xinhua
Dr Sun Qingfu memberikan terapi akupunktur tradisional. – Xinhua

Sun mengatakan kekurangan dana merupakan satu lagi masalah. Mereka harus terlibat dalam perdagangan antarabangsa untuk mendapatkan wang bagi menyokong amalan perubatan mereka. Pada tahun 1998, Pusat Perubatan Oriental akhirnya ditubuhkan setelah tiga percubaan gagal. Sejak itu, jumlah pesakit bertambah, malah ada yang datang dari Namibia, Somalia, Etiopia dan Mozambique.

Pemenang Oscar Gwyneth Paltrow merupakan salah seorang pesakit Dr Sun. Dia berkunjung ke klinik beberapa kali untuk merawat sakit belakangnya. Dia bahkan berjalan di karpet merah dengan tanda bekam di belakangnya.

Media Afrika Selatan melaporkan kisah itu dan memperkenalkan klinik Dr Sun kepada umum. Pasangan ini tidak mengiklankan klinik, namun perniagaan berkembang pesat tidak lama selepas itu.

Beberapa doktor tempatan mengesyorkan pesakit dengan masalah ketidaksuburan mengunjungi Pusat Perubatan Oriental terlebih dahulu dan mencuba beberapa ubat tradisional Cina.

Selepas itu, jika perlu, pesakit boleh kembali ke hospital biasa untuk rawatan lebih lanjut.

Sejak tahun 2000, pasangan ini telah membantu China mendaftarkan lebih daripada 800 jenis ubat hak milik Cina di Afrika Selatan, yang menjadikan perubatan tradisional Cina mendapat tempat di negara itu.

Pada tahun 2015, kedua-dua pasangan itu menubuhkan Kolej Perubatan Tradisional Cina Afrika Selatan. Dua tahun kemudian, mereka membantu Universiti Perubatan Tradisional Cina Chengdu China menubuhkan kolej cawangan universiti itu di Afrika Selatan.

Dipengaruhi oleh ibu bapanya, anak lelaki pasangan itu Ivan, jurusan Bioinformatik di University of the Witwatersrand, salah satu universiti terkemuka di Afrika Selatan, kini juga belajar perubatan tradisional Cina.

“Saya akan melakukan penyelidikan berdasarkan perubatan tradisional Cina, dalam beberapa bidang, berusaha menggabungkan perubatan tradisional Cina dengan bioinformatik,” kata Ivan ketika membincangkan rancangan masa depannya.

“Saya percaya mungkin oada masa depan… seluruh dunia… akan mempercayai perubatan tradisional Cina adalah salah satu rawatan yang paling bermanfaat,” tambahnya. – Xinhua