Peruncit UK berdepan krisis bekalan

LONDON, 17 SEPT – Peruncit UK berdepan kemerosotan jualan dan krisis bekalan global, menjadikannya sukar untuk kedai mendapatkan barangan sebelum musim membeli-belah Krismas, menurut data hari ini.

Jualan runcit merosot 0.9 peratus pada Ogos daripada bulan sebelumnya, dengan sektor runcit terjejas oleh orang yang kembali ke restoran selepas pembatalan sekatan virus, kata Pejabat Statistik Negara dalam satu kenyataan.

Sejumlah besar peruncit gagal mendapatkan produk yang cukup disebabkan krisis bekalan berpunca sebahagiannya daripada kekurangan pemandu lori disebabkan pandemik COVID-19 dan kesan pengeluaran Brexit.

ONS pada hari ini berkata 6.5 peratus daripada firma runcit gagal mendapatkan bahan, produk atau perkhidmatan yang diperlukan dari UK dalam masa dua minggu sehingga 22 Ogos.

Gedung membeli-belah menerima kesan paling teruk pada 18.2 peratus, diikuti oleh kedai pakaian pada 11.1 peratus.

Ahli ekonomi berkata berita suram pada hari ini menandakan masalah berdepan peruncit menjelang Krismas.

“Krisis kekurangan pekerja, isu rantaian bekalan dan permintaan meningkat akan terus menguji peniaga runcit,” kata Oliver Vernon-Harcourt, ketua perniagaan runcit di kumpulan perakaunan Deloitte.

ONS menambah hampir 9 peratus daripada perniagaan runcit terpaksa menukar pembekal atau mencari penyelesaian alternatif.

“Mengurus kenaikan harga dan kekurangan stok akan menjadi salah satu cabaran utama yang harus diatasi peniaga runcit pada bulan-bulan akan datang,” tambah Vernon-Harcourt. – AFP